Matt Smith Sertai Peter Cklamovski Di Salford City
MakanBola
Salford City FC

Salford City menjadi destinasi baru bekas jurulatih Harimau Malaya, Matt Smith.

Ini selepas Salford mengumumkan Smith kini memikul tugas sebagai penolong pengurus kepada pengurus baharu merangkap bekas ketua jurulatih skuad negara, Peter Cklamovski.

“Peter Cklamovski telah menambah staf kejurulatihannya minggu ini dengan pelantikan Matt Smith sebagai penolong pengurus.

“Matt tiba di Salford selepas berkhidmat sebagai penolong Peter untuk pasukan kebangsaan Malaysia sejak 2025, sebelum itu beliau pernah bekerja di A-League.

“Bekas pemain pertahanan, pemain berusia 43 tahun itu memulakan kerjaya profesionalnya di Portsmouth sebelum menjadi kapten Brisbane Roar untuk kejayaan A-League dan bermain di peringkat antarabangsa untuk Australia,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini turut menamatkan desas-desus tentang destinasi Smith selepas meninggalkan Harimau Malaya baru-baru ini. Ini kali kedua beliau bekerjasama dengan Cklamovski selepas skuad senior negara.

Sebaik pelantikan Smith disahkan, beliau mengakui teruja membantu Salford merealisasikan sasaran mereka untuk musim 2026/27. Beliau juga percaya falsafah permainan yang diterapkan Cklamovski bakal membantu Salford naik ke tahap yang lebih tinggi.

“Peter telah menunjukkan sepanjang kerjayanya bahawa beliau mempunyai banyak pengalaman dalam membina persekitaran yang berjaya. Dan setelah bekerja dengan beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah melihatnya sendiri.

“Sangat jelas ke mana kelab mahu pergi dan saya fikir penting untuk semua orang memahami objektif dan sasaran tersebut. Cara kami mahu bermain ialah menyerang dan agresif, jadi pramusim akan menjadi asas yang hebat untuk itu,” katanya.

Selain Harimau Malaya, Smith pernah menjadi jurulatih Brisbane City dan BG Pathum United. Beliau juga pernah menggalas peranan sebagai pengarah sukan Brisbane City dan pengarah teknikal The Rabbits.