Pertahanan kental Malaysia, Matthew Davies membuktikan cinta paling dalam menerusi sentuhan atas dan juga luar padang.
Pemain berusia 28 tahun itu kini beraksi cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak beberapa musim dan mendapat kepercayaan penuh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Aksi kentalnya di atas padang seringkali mencuri tumpuan penyokong Malaysia tatkala pemain Australia-Malaysia ini sentiasa memberikan komitmen terbaik bersama pasukan.
Beliau bagaimanapun terus menyemai cinta kepada negara apabila tampil dengan satu kejutan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menerusi satu ucapan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia pada 16 September 2023, pemain yang mesra disapa Matt Davies ini mengakui kini sudah menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Hal ini dibuktikan dengan satu ucapan khas kepada semua namun mengakui masih tidak begitu yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
“Dah lama duduk sini kan, sebenarnya saya sudah lama boleh cakap bahasa Melayu tetapi kadang-kadang kurang yakin dengan kamera.”
“Akan tetapi, semua rakan-rakan saya sudah tahu saya boleh bercakap dalam bahasa Melayu.”
Beliau ketika ditemui MakanBola di Wisma FAM juga sentiasa menghargai sokongan yang diberikan oleh ekor sejati Harimau Malaya kepada skuad kebangsaan.
Bekas pemain Sri Pahang ini beraksi dalam kesebelasan utama dalam dua aksi berdepan Syria dan China dengan memakai lilitan kapten ketika seri 2-2 dengan Syria.
Davies kini dalam misi mempersiapkan diri menjelang sepak mula Liga Juara-Juara Asia (ACL) berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 September 2023.