Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha percaya dua sebab menjadi pendorong Terengganu FC merekrut dua tonggak Tajikistan baru-baru ini.
Kelab Pantai Timur itu secara rasmi mengumumkan pemain tengah, Ehson Pandzhshanbe dan pemain sayap, Shervoni Mabatshoev sebagai rekrut terbaru mereka.
Kehadiran mereka dilihat mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua bekas tonggak import, Nurillo Tukhtasinov dan Gabriel Silva.
Norshahrul yang mesra disapa Matyo percaya faktor fizikal dan corak permainan dilihat mempengaruhi Peteh untuk mendapatkan khidmat dua pemain dari Asia Tengah itu.
Ini kerana dua faktor ini membantu Nurillo menjadi tonggak utama kesayangan penyokong sepanjang bersama Terengganu.
“Mungkin pengurusan TFC mahupun Coach Tengku Hazman sendiri ingin menggantikan tempat Nurillo dengan pemain dari Asia (Tengah).
“Mungkin corak permainan dan fizikal yang seakan sama dengan Nurillo. Mereka mungkin belum beraksi tetapi gambaran itu boleh nampak,” katanya semasa menjadi panel Nadi Bola.
Ehson dan Shervoni berpotensi membuat kemunculan pertama untuk aksi liga berikutnya menentang Brunei DPMM FC pada 13 Januari ini.
Selain dua bintang Tajikistan itu, Haqimi Azim Rosli turut menyertai Terengganu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Haqimi mencipta impak segera dengan membantu Peteh menewaskan PDRM FC 1-0.