Selepas kali terakhir tampil di Piala Asia sebagai tuan rumah bersama pada 2007, Harimau Malaya berjaya layak secara merit selepas melepasi pusingan kelayakan. Dan bagi bekas penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha, beliau percaya anak-anak buah Kim Pan-gon itu mampu tampil cemerlang di kejohanan berkenaan.
Malaysia layak ke Piala Asia secara merit ialah pada 1980. Ini disusuli pula dengan layak dengan status sebagai tuan rumah pada 2007 sebelum terpaksa menunggu selama 15 tahun untuk layak buat kali ketiga pada tahun lepas.
Dengan penantian yang lama beraksi di peringkat Asia, sudah pastinya Harimau Malaya mahu membuktikan kemampuan mereka di kejohanan yang bakal diadakan di Qatar pada awal tahun depan. Atas sebab itu, Norshahrul percaya berdasarkan beberapa perlawanan yang dilalui Harimau Malaya, tampil cemerlang bukan satu isu.
“(Peluang mereka) cerah untuk sekurang-kurangnya ke pusingan kedua. Sebab kita tak boleh nafikan kita sekarang ada fasiliti-fasiliti yang lengkap berbanding semasa kita bermain di Piala Asia pada 2007 sebagai tuan rumah.
“Sekarang orang cakap, ada pemain-pemain muda berkualiti. Pemain-pemain naturalisasi juga berkualiti. Barisan muda kita juga berkualiti jadi ia satu berita baik sebenarnya. Kita tidak boleh menidakkan (peluang) layak ke pusingan kedua,” katanya dalam program pra-perlawanan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di Astro Arena beberapa hari lepas.
Piala Asia 2023 bakal berlangsung di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024. Dengan saingan membabitkan 24 pasukan termasuk beberapa pasukan terbaik Asia, ia satu cabaran yang dinantikan barisan pemain Harimau Malaya.