Aksi pertama kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan apabila skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menewaskan pasukan Myanmar. Penjaring tunggal perlawanan, Faisal Halim ketika ditemu bual menzahirkan penghargaan kepada semua penyokong Harimau Malaya.
Beliau turut berterima kasih kepada para pemain serta barisan kejurulatihan kem kebangsaan.
Dalam satu temu bual selepas perlawanan, media AFF sempat mengajukan beberapa soalan dalam Bahasa Inggeris kepada Faisal. Faisal menjawab soalan yang diajukan dengan cukup tenang.
Faisal ditanya berkenaan persediaan pasukan untuk perlawanan mendatang. Jelas Faisal, beliau dan rakan sepasukan akan memperbaiki mana yang kurang dan cuba mengekalkan momentum kemenangan.
“Kami perlu bawa momentum positif ini untuk perlawanan mendatang. Bagi saya setiap perlawanan kami pasti berikan segalanya dan berusaha ssedaya upaya bermain bersunguh-sungguh hingga ke minit 90 permainan.”
“Hari ini kita dapat lihat pada babak pertama perlawanan agak sukar untuk kita namun pada separuh masa kedua kami lebih agresif. Kami cipta beberapa serangan dan akhirnya gol terhasil.”
Malaysia bakal berdepan Laos pada Sabtu, 24 Disember 2022. Perlawanan tersebut bakal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil tepat jam 8.30 malam.