Nama penyerang Malaysia, Paulo Josue menjadi bualan media luar negara menjelang Piala Asia yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.
Menerusi ciapan yang dimuatnaik oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelibat Paulo Josue bersama skuad negara menjadi perhatian media Brazil menerusi satu artikel yang dimuatnaik oleh media tersebut.
“Penampilan Paulo Josue di Piala Asia Qatar dapat tumpuan media Brazil. Josue antara 4 pemain naturalisasi yang menganggotai skuad Harimau Malaya selain Mohamadou Sumareh, Endrick dos Santos dan Romel Morales”, tulisnya di laman X.
Di dalam artikel tersebut, penyerang KL City itu berkongsi pelbagai cerita menarik bersama skuad negara khususnya matlamatnya untuk membawa pasukan ke pentas tertinggi bola sepak iaitu Piala Dunia meskipun misi tersebut dilihat masih jauh.
“Jangkaan, sudah tentu, untuk bermain Piala Dunia, yang kini akan bersama lebih daripada 40 pasukan, supaya pasukan yang dianjurkan mempunyai peluang besar untuk ke sana.”
“Kami tahu bahawa untuk Malaysia ini mungkin agak jauh, tetapi kami akan berusaha dan jika peluang muncul kami akan merebutnya”, ujar pemain berusia 35 tahun itu.
Paulo Josue yang dijangka mengetuai jentera serangan Malaysia bersama rakan sepasukan yang lain bakal memulakan aksi di pentas Piala Asia berdepan Jordan pada 16 Januari ini.