Media Vietnam ‘Intip’ Situasi Harimau Malaya
MakanBola
VFF

Media Vietnam dikesan memantau rapat situasi yang sedang berlaku di Harimau Malaya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Keputusan ini menyaksikan para pemain yang terlibat boleh kembali beraksi dan terlibat dalam semua pertandingan bola sepak secara langsung.

Situasi ini dilihat menjadi tumpuan selepas beberapa media utama di Vietnam seperti VNExpress telah melaporkan perkembangan Harimau Malaya ini.

“Tujuh pemain warisan Malaysia yang digantung oleh FIFA telah dibenarkan beraksi oleh CAS,” ujar keratan media VNExpress.

Kedua-dua pasukan berada dalam Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dan bersaing sengit untuk merebut slot ke pentas Piala Asia Arab Saudi 2027.

Pada pertemuan 10 Jun 2025, Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua pasukan tumpuan Asia Tenggara ini bakal bertemu sekali lagi bagi aksi terakhir Kumpulan F pada 31 Mac 2026 di gelanggang Vietnam.