Sinar Baharu CAS Buat 7 Pemain Warisan Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Kenyataan terkini oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya mencuri tumpuan.

Harimau Malaya telah mengharungi beberapa perlawanan tanpa sentuhan tujuh pemain warisan negara yang mengalami penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, 26 Januari 2025, FAM yang sebelum ini telah memutuskan untuk membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah memberikan khabar positif.

Hal ini selepas penggantungan bagi tujuh pemain ini telah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan yang dijalankan oleh CAS selesai.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport – CAS) telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

“7 pemain ini dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” ujar kenyataan FAM.

Situasi ini sekali gus menyaksikan tujuh pemain ini dijangka bakal kembali beraksi bersama kelab masing-masing sehingga keputusan akhir dibuat.