Media Vietnam Risau Persiapan Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Media Vietnam dilihat mula menekan butang panik menjelang pertemuan menentang Harimau Malaya, Mac ini.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu pada aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Thien Thruong.

Pertemuan terakhir pada aksi kedua kumpulan menyaksikan pasukan kendalian Peter Cklamovski berjaya menewaskan pasukan ke-108 dunia itu dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Status skuad Malaysia yang bakal dibawa ke Vietnam masih belum dipastikan namun sudah pun menimbulkan kerisauan dalam kalangan penganalisis skuad Bintang Pahlawan Emas itu.

Analisis daripada penganalisis Vietnam, Quang Huy yang dipetik oleh Thetao247.com menjelaskan tentang kerisauan terhadap kemampuan yang dimiliki oleh Harimau Malaya.

Katanya, Vietnam bakal mengharungi detik yang sukar sekiranya keputusan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memihak kepada tujuh pemain sekali gus membolehkan mereka beraksi.

“Sekiranya Malaysia kekal menggunakan khidmat tujuh pemain warisan berdepan Vietnam, sukar untuk pasukan kita menjaringkan lebih tiga gol.

“Walaupun Harimau Malaya tidak menurunkan pemain tersebut, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk menjaringkan banyak gol menentang mereka,” katanya pada satu sesi wawancara seperti yang dipetik.

Ketika ini, keputusan pendengaran CAS di Lausanne, Switzerland telah pun selesai pada 26 Februari 2026 dengan keputusan penuh dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.