Mehmet Durakovic Kembali Ke Liga Malaysia?
MakanBola
MFL

Legenda Selangor FC, Mehmet Durakovic dikhabarkan bakal kembali mewarnai Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Ini kerana wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan khidmat bekas jurulatih Perak itu diintai Imigresen FC.

“Mehmet kembali! Difahamkan, Imigresen dalam usaha mendapatkan khidmat Mehmet Durakovic bagi menghadapi musim baharu,” katanya dalam satu hantaran di X.

Jika khabar ini benar, ini menimbulkan persoalan tentang masa depan Yusri Che Lah bersama The Mighty Tigers. Ini kerana beliau membimbing pasukan itu menamatkan musim 2025/26 dalam kelompok enam pasukan teratas Liga Super.

Nama Durakovic tidak asing dengan arena bola sepak negara. Ini kerana legenda Australia itu pernah beraksi dalam Liga M sebagai tonggak import Selangor pada tahun 90-an.

Sepanjang bersama Selangor dari 1995 hingga 1998, Durakovic membantu pasukan gergasi Lembah Klang itu muncul juara Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut.

Sentuhan jurulatih berusia 60 tahun itu kemudiannya ditagih pengurusan Merah Kuning pada 2014. Meskipun hanya sempat melatih Selangor selama dua musim, Durakovic mengulangi kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 2015 kali ini sebagai jurulatih.

Beliau kemudiannya berkelana ke Perak pada 2017. Sepanjang empat musim di Ipoh, Durakovic membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada 2018.

Selain membantu Perak bergelar juara Piala Malaysia, beliau turut membantu pasukan utara tanah air itu muncul naib juara Liga Super musim sama. Kejayaan Durakovic diiktiraf apabila dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018.