Seorang demi seorang pemain utama Melaka United bertindak meninggalkan pasukan. Yang terkini adalah pemain yang menampilkan aksi cemerlang musim lepas, Manuel Ott.
Yang lebih merisaukan para penyokong pastinya mengenai masa depan ‘ayam tambatan’ mereka, Sony Norde yang dikhabarkan menerima tawaran dari pasukan Kedah Darul Aman FC. Sony Norde merupakan pemain yang mempunyai ‘workrate’ tinggi dan memberikan segala-galanya apabila diturunkan.
Namun baru-baru ini, Melaka United ada memuatnaik satu gambar menunjukkan kehadiran pemain baru mereka, Walaupun dikaburkan wajahnya, rata-rata penyokong dapat mengagak siapakah gerangan pemain tersebut.
Pemain itu adalah Emmanuel Oti Essigba yang dijangkakan bakal beraksi untuk Melaka United musim 2022. Pemain berusia 25 tahun dari Ghana itu merupakan bekas pemain Vegalta Sendai di Liga Jepun dan beraksi di posisi sayap kiri. Posisi yang sama dengan Sony Norde.
Tetapi setelah dikaji, pada musim lepas, Oti hanya diturunkan 8 kali dan kesemuanya hanya sebagai pemain gantian. Oti mengumpul 121 minit permainan ketika berada di Jepun.
Lebih merisaukan para penyokong adalah Oti merupakan pemain yang kerap mengalami kecederaan. Pada tahun 2016 sehingga 2018, Oti telah disisihkan selama 193 hari keseluruhan kerana kecederaan bahu dan juga cedera pangkal peha.
Untuk musim 2021 di Jepun, beliau juga tersisih selama 71 hari keseluruhan kerana mengalami kecederaan hamstring dan hernia. Oti baru sembuh dan bebas dari kecederaan pada bulan Oktober 2021.
Keadaan ini pastinya merisaukan para penyokong Melaka United yang mahukan pasukan kesayangan mereka menandatangani pemain import berkualiti untuk menghadapi musim baru. Walaupun belum diumumkan secara rasmi, Oti boleh dikatakan sah menjadi pemain Melaka United berdasarkan laman web transfermarkt.