Pendidikan
MakanBola
Advertisements

Expected Goal (xG) adalah salah satu parameter statistik yang semakin popular dan semakin dilirik pundit serta pengulas bola sepak di Malaysia.

Namun hingga saat ini cuma ada beberapa penyedia statistik (sama ada berintegrasi dengan Institut Sukan ataupun yang beroperasi sendiri mahupun individu tertentu) yang mengemukakan xG ini di hebahan data mereka.

xG masih belum kelihatan di paparan data-statistik MFL ketika siaran langsung perlawanan-perlawanan tertentu (Liga atau FA) yang disiarkan di kaca televisyen mahupun di saluran YouTube.

Advertisements

Jadi; apa sebenarnya xG ini dan mengapa ia semakin signifikan dalam hebahan data pemain tertentu dan juga untuk pasukan tertentu?

xG Dalam Bahasa Ringkas & Mudah

Secara ringkas dan mudah; xG adalah:

KEBARANGKALIAN CUBAAN (REMBATAN ATAU TANDUKAN ATAU PLACING SHOT ATAU VOLLEY ATAU FIRST TIMER ATAU TAP IN ATAU BICYCLE KICK ATAU APA SAHAJA CARA CUBAAN YANG MENGHALAKAN BOLA KE ARAH PINTU GOL LAWAN) MENGHASILKAN GOL BERDASARKAN FAKTOR/PEMBOLEHUBAH YANG MEMBAWA KEPADA BERLAKUNYA CUBAAN TERSEBUT.

Advertisements

Contoh FAKTOR/PEMBOLEHUBAH sesuatu cubaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Lokasi Cubaan: Berapa jauh dari gol dan bagaimana sudut cubaan tersebut?
  • Anggota Badan: Apakah ianya cubaan menggunakan kaki atau tandukan?
  • Jenis Hantaran: Apakah ianya daripada Through Pass, Cut Back; Set Pieces dan lain-lain?
  • Jenis Serangan: Adakah berpunca daripada Possession Play? Adakah ia berpunca daripada gerakan solo pemain? Adakah ia berpunca daripada gerakan Counterattack?

Secara ringkas dan mudah lagi;

xG MEMBERITAHU KITA KUALITI CUBAAN DAN KEBARANGKALIAN CUBAAN TERSEBUT AKAN MENGHASILKAN GOL, BUKANNYA HASIL MUTLAK CUBAAN TERSEBUT IAITU – GOL ATAU TIDAK.

Advertisements

Bagaimana xG Dihitung? – Kaedah Perbandingan

Setiap cubaan dibandingkan dengan beribu-ribu cubaan dengan FAKTOR/PEMBOLEHUBAH yang seboleh-bolehnya sama atau hampir sama untuk menentukan KEBARANGKALIAN yang cubaan tersebut akan menghasilkan gol.

KEBARANGKALIAN tersebut adalah nilai xG.

xG = 0 adalah penilaian bahawa cubaan tersebut berkemungkinan sifar untuk menghasilkan gol, setelah dibandingkan dengan beribu-ribu cubaan serupa; dengan FAKTOR/PEMBOLEHUBAH yang hampir serupa.

Advertisements

Contoh: Seorang pemain membuat cubaan dari kotak penalti kawasan sendiri. Cubaan ini dibandingkan dengan beribu-ribu cubaan serupa. Daripada perbandingan dengan beribu-ribu cubaan itu, tiada satupun cubaan serupa yang menghasilkan gol.

Maka; nilai xG cubaan tersebut adalah 0.  

xG = 1 adalah penilaian bahawa cubaan tersebut berkemungkinan PALING TINGGI ATAU MUTLAK UNTUK MENGHASILKAN GOL, dibandingkan dengan beribu-ribu cubaan serupa.

*Mungkin tiada cubaan yang nilai xG-nya = 1 (atau MUTLAK MENGHASILKAN JARINGAN kerana jika dibandingkan dengan cubaan serupa; walaupun dalam situasi pintu gol terbuka luas, TETAP ADA KEBARANGKALIAN YANG CUBAAN-CUBAAN SERUPA TIDAK DAPAT MENGHASILKAN GOL.   

Contoh mudahnya begini dalam membina kaedah perbandingan tersebut (memakai perbandingan dengan 10 cubaan sahaja) –

Nilai xG = 0.5

Menunjukkan bahawa jika cubaan serupa daripada segi FAKTOR/PEMBOLEHUBAH itu dilakukan sebanyak 10 kali, 5 kali dijangka (EXPECTED) gol.

Maka nilai xG yang diberikan kepada cubaan tersebut adalah 0.5.

Nilai xG = 0.1

Menunjukkan bahawa jika cubaan serupa daripada segi FAKTOR/PEMBOLEHUBAH itu dilakukan sebanyak 10 kali, 1 kali dijangka (EXPECTED) gol.

Maka nilai xG yang diberikan kepada cubaan tersebut adalah 0.1.

Secara ringkasnya:

xG MEMBERIKAN NILAI KEPADA CUBAAN YANG DIHASILKAN – UNTUK MENGUKUR KUALITI PELUANG (BERKUALITI ATAU TIDAK) TERSEBUT YANG DIHASILKAN MELALUI PEMAIN TERTENTU; ATAU YANG DIHASILKAN SESEBUAH PASUKAN ITU.

Pelbagai Model xG

Lain syarikat penyedia data, lain Model xG mereka meskipun secara kasarnya; nilai xG yang diberikan terhadap cubaan tertentu dengan FAKTOR/PEMBOLEHUBAH yang serupa atau hampir serupa tidaklah terlalu jauh berbeza antara syarikat penyedia data-statistik.

Contoh:

Model xG StatsBomb memberikan nilai xG bagi sepakan penalti sebanyak 0.76, sedangkan

Model xG STATS Perform memberikan nilai xG bagi sepakan penalti sebanyak 0.79.

Model xG yang dibangunkan StatsBomb agak berbeza dengan syarikat penyedia data yang lain kerana StatsBomb mengaplikasikan Freeze Frames.

Dengan Freeze Frames posisi setiap pemain dapat dipegunkan ketika cubaan dihasilkan – jadi lebih mudah untuk diambilkira.

Sebenarnya xG Begini

  1. Pasukan yang memperoleh nilai xG tinggi dalam perlawanan tertentu tidak semestinya memenangi perlawanan tersebut. xG HANYA MEMBERIKAN NILAI KEPADA CUBAAN, BUKANNYA HASIL MUTLAK CUBAAN TERSEBUT – GOL ATAU TIDAK.

Contoh: Sebuah pasukan itu menghasilkan xG yang tinggi berdasarkan peluang-peluang yang mereka cipta tetapi gagal mencatatkan jaringan menerusi beberapa peluang tersebut sedangkan pasukan lawan hanya mencatatkan satu peluang sahaja sepanjang perlawanan dengan nilai xG sekian untuk peluang tersebut dan berhasil menjaringkan gol melalui peluang tersebut. Sudah tentu nilai xG pasukan lawan kecil tetapi pasukan lawan memenangi perlawanan.

  1. Walaupun termanya ialah Expected Goal namun sebenarnya yang dijangka itu bukannya gol, tetapi NILAI CUBAAN/PELUANG TERSEBUT MENGHASILKAN GOL. Terma “Expected” itu sebenarnya diambil daripada konsep Matematik iaitu Expected Value yang mengukur kebarangkalian terjadinya hasil.

Contoh: Jika kita melakukan “Coin Toss”, kebarangkalian mendapatkan ‘kepala’ adalah 50% (0.5) dan kebarangkalian mendapatkan ‘ekor’ juga 50% (0.5). Tetapi kita tidak dapat menjangka bahawa dalam dua kali Coin Toss – pertama kita akan mendapat ‘kepala’ dan kedua akan jatuh pada ‘ekor’ atau sebaliknya. Tetapi semakin banyak kita melakukan Coin Toss, keseimbangan antara mendapatkan ‘kepala’ dengan ‘ekor’ semakin terlihat.

Begitu juga nilai xG diberi berdasarkan perbandingan antara ribuan cubaan tersebut. Nilai akhirnya akan menyusut kepada sekian nilai setelah dibandingkan dengan beribu-ribu cubaan.

  1. Seorang pemain atau sesebuah pasukan yang sudah mencatatkan nilai xG tinggi melalui cubaan yang dihasilkan sepanjang permainan atau beberapa perlawanan hingga pertengahan musim tidak akan menyusutkan nilai xG tersebut secara signifikan sekiranya pemain itu atau pasukan itu mengalami penurunan prestasi dalam perlawanan atau dalam baki musim tersebut. Ini kerana xG ‘disimpan’, bukannya ‘dikumpul’ secara kumulatif-purata.

Dua atau Tiga Cubaan Dalam Satu Urutan (Sequence) Serangan

Bagaimana memberikan nilai xG terhadap peluang-peluang yang datang secara berurutan dalam satu serangan?

Contoh: Rembatan pemain A diselamatkan Penjaga Gol lawan sebelum pemain B menyambar bola tersebut lalu melakukan rembatan sekali lagi namun terkena tiang gol. Bola melantun dan dirembat kembali pemain A tetapi bola terkena palang pula sebelum pemain C menanduk masuk bola tersebut ke dalam pintu gol walaupun di atas garisan gol terdapat ramai pemain pasukan lawan.

Adakah seperti ini?:

xG = xG1 (Rembatan pemain A diselamatkan Penjaga Gol lawan) + xG2 (Rembatan pemain B terkena tiang) + xG3 (Rembatan pemain A terkena palang) + xG4 (Tandukan pemain C yang berhasil gol)

Jawapannya: SALAH

Mengapa? Kerana logiknya jika dicampur semua xG yang terhasil dalam satu urutan (Sequence) serangan, nilai xG tersebut akan menjadi lebih daripada 1.

Secara logiknya lagi, tidak mungkin kita menghasilkan 2 jaringan dalam satu urutan serangan.

Sebenarnya begini:

Justeru itu; kita harus mengambil kira faktor bahawa pasukan lawan tidak membenarkan gol terhasil daripada peluang-peluang (xG) yang diciptakan itu.

Jadi; pengiraannya adalah seperti ini:

(1 – xG1) x (1 – xG2) x (1 – xG3) x (1 – xG4) = Y (Kebarangkalian pasukan lawan tidak membenarkan gol terhasil melalui xG yang dicipta)

Jadi; xG = 1 – Y

Contoh di atas juga boleh digunapakai dalam mengira xG bagi Rebound tendangan penalti. Mengambil nilai model xG penalti StatsBomb adalah 0.76 dan Rebound kepada tendangan tersebut di mana situasi bola melantun di dalam kotak dengan Penjaga Gol masih belum recover adalah 0.72.

Cara mengira nilai xG bagi situasi ini (model StatsBomb) adalah seperti berikut:

1 – (1 – 0.76) x (1 – 0.72) = 0.9328

Signifikan xG dalam Hebahan Data Pemain Tertentu

Mari kita lihat gambar di bawah yang “dipinjam” daripada The Analyst.

Gabriel Jesus dan Hakan Calhanoglu melakukan 100 cubaan (tidak termasuk penalti) dalam liga masing-masing di mana Jesus menjaringkan 14 gol manakala Calhanoglu hanya menjaringkan 8 gol.

Dengan memberikan nilai (xG) kepada 100 cubaan mereka, kita dapat memberikan dimensi baru terhadap cubaan mereka – bukan hanya On Target atau tidak, atau jarak setiap cubaan itu.

Perkara paling asas yang boleh kita perhatikan terhadap seorang penyerang jika dibekalkan xG dan jumlah jaringan adalah berapa nilai kedua-dua parameter tersebut.

Lihat xG Gabriel Jesus = 17.7 tetapi jumlah jaringan beliau cuma 14 – Bermakna Jesus tidak memanfaatkan peluang-peluang baik yang beliau miliki (ini akan direfleksikan kepada Conversion Rate). Seharusnya Jesus menjaringkan 17 atau 18 gol jika beliau memiliki Finishing yang tajam.

Lihat xG Hakan Calhanoglu = 7.0 tetapi jumlah jaringan beliau 8 – Membuktikan bahawa Calhanoglu seorang penyerang atau pemain serangan yang tajam; yang menterjemahkan peluang-peluang beliau yang cuma bernilai 7.0 (xG) itu menjadi 8 jaringan.

Ini juga membuktikan bahawa xG bukannya murni dikuasai seseorang penyerang, melainkan xG juga melibatkan rakan sepasukan (contoh: assist yang didapatkan penyerang tersebut dan sebagainya).

Di sini jelas Calhanoglu memperolehi peluang yang nilainya (kualitinya) lebih kecil berbanding Jesus tetapi menterjemahkannya kepada gol lebih baik daripada Jesus.

Lihat juga dua gambar di bawah untuk memahami mengapa xG Jesus lebih tinggi daripada xG Calhanoglu.

xG Jesus lebih tinggi daripada xG Calhanoglu kerana:

Kebanyakan Shots atau cubaan yang dimiliki Jesus dilakukan di dalam atau hampir dengan kotak penalti (mendapatkan nilai xG tinggi) sedangkan Shots atau cubaan Calhanoglu dilakukan di luar kotak penalti (mungkin kerana nature beliau gemar melakukan rembatan jarak jauh dan posisi beliau yang berbeza daripada Jesus).

xG Per Shot memberikan gambaran bahawa di setiap cubaan atau rembatan pemain serangan, berapa tinggi peluang cubaan tersebut akan menghasilkan gol (xG = 0 – 1).

xG Per 90 pula memberi gambaran dalam 90 minit permainan berapa peluang berkualiti (xG = 0 – 1) yang didapatkan pemain serangan tertentu.

xG Per 90 lebih tinggi daripada xG Per Shot kerana beza tempoh masa hitungan.

Signifikan xG dalam Hebahan Data Pasukan Tertentu

Seperti yang dinyatakan di atas, xG tidak hanya digunapakai untuk menilai penyerang atau pemain serangan tertentu. Ia juga memberikan nilai untuk sesebuah pasukan.

xG boleh dihitung untuk satu perlawanan sahaja dan boleh juga dihitung untuk tempoh sepanjang musim.

Contoh xG untuk satu perlawanan bagi pasukan tertentu agak mudah diinterpretasikan. Ia kurang lebih sama seperti menilai xG untuk pemain penyerang dalam satu perlawanan.

Katakan dalam satu perlawanan; sesebuah pasukan itu mencatatkan xG bernilai 2.89 dan keputusan akhir perlawanan tersebut berpihak kemenangan kepada pasukan itu dengan jaringan 3 – 0.

Ini memberi gambaran bahawa pasukan tersebut memanfaatkan peluang berkualiti (yang bernilai +/- 3.0) yang mereka miliki dalam perlawanan tersebut, menukarkannya kepada jaringan.

Jika keputusan akhir perlawanan tersebut berakhir 0 – 0, bermakna pasukan tersebut tumpul dalam menukarkan peluang berkualiti menjadi gol, kerana meskipun memiliki xG 2.89 namun keputusan akhir tiada jaringan yang terhasil.

Begitu juga jika kita menilai xG pasukan tertentu perlawanan demi perlawanan lalu kita mendapati bahawa pola xG pasukan tersebut statik di nilai tertentu sahaja dan tiada perubahan signifikan.

Contoh: Pasukan A dalam 5 perlawanan awal liga mencatatkan 0.32, 0.42, 0.27, 0.53 dan 0.45. Tidak pernah xG mereka melebihi nilai 1, memberikan indikasi ketumpulan jentera serangan yang sangat kronik kerana tidak menghasilkan peluang-peluang berkualiti untuk ditukarkan kepada gol.

Begitu juga jika kita menemui sebuah pasukan yang mencatatkan xG tinggi dalam beberapa perlawanan tetapi mencatatkan gol yang kurang daripada xG mereka dalam perlawanan-perlawanan tersebut. Sekali lagi ia memberikan indikasi ketumpulan jentera serangan.

Penutup

xG adalah salah satu parameter statistik baru yang sangat berguna kepada banyak individu dalam dunia bola sepak moden.

Secara murni, ia mengukur kualiti peluang untuk menjadi gol. Tetapi daripada pelbagai sudut dalam analisis, ia boleh memberikan gambaran tentang banyak hal.

Saya menantikan MFL menyediakan xG dalam hebahan data mereka di televisyen dan juga di saluran YouTube unifi dan para pundit kita di RTM, RTM Sports dan saluran YouTube unifi ini membahas xG pasukan tertentu secara meluas dan informatif.

Bilakah agaknya impian saya ini akan terlaksana?

Rujukan:

  1. Johnny Whitmore, 2021, What Are Expected Goals (xG), theanalyst.com
  2. Marc Lambert, 2021, Data Metric Explained: Expected Goal (xG), herfootballhub.com
  3. Ryan Kelly, 2019, What is xG in Football & How is the Statistic Calculated, goal.com
  4. xG Explained, fbref.com

 

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram