Advertisements
Herold Goulon Tak Beraksi Setiap Perlawanan? K. Devan Ada Jawapannya
Liga Super
MakanBola
Negeri Sembilan Football Club

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan memberi jawapan muktamad mengenai percaturan beliau untuk tidak memainkan beberapa orang pemain import pasukan selama 90 minit dalam setiap perlawanan.

Pertembungan antara pasukan KL City dan Negeri Sembilan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.

Menerusi temubual bersama K. Devan selepas tamat perlawanan, beliau memiliki sebab yang kukuh mengapa tidak dapat menurunkan kesebelasan pemain yang sama bagi setiap perlawanan.

Isu kecederaan kini serius melanda skuad Jang selepas beberapa pemain kini tidak dapat diturunkan dalam aksi ini.

Menurut Devan, faktor usia dan kecergasan menyebabkan beberapa pemain seperti Casagrande dan Herold Goulon tidak dapat diturunkan dalam setiap perlawanan.

“Saya ingin memberitahu bahawa Negeri Sembilan kini menghadapi beberapa isu kecederaan. Beberapa pemain tempatan kita seperti Shahrel Fikri, Zaquan, Izzuddin dan lain-lain tidak dapat beraksi.”

“Perkara yang sama juga terjadi kepada pemain import kita, contohnya Casagrande. Beliau sudah berumur 37 tahun, sekiranya saya menurunkan mereka dalam setiap perlawanan, ada risiko untuk menghadapi kecederaan.”

Keadaan sama juga terjadi kepada Goulon yang baru mula mendapat rentak setelah tersisih lama akibat kecederaan.

“Goulon pun sama. Beliau sudah berusia 35 tahun. Ketika menentang JDT beliau beraksi dan kali ini beraksi sekitar 60-70 minit,” jelasnya dalam sesi temu bual selepas perlawanan.

Negeri Sembilan mencatatkan keputusan seri ke-8 dan kini masih berada di tangga ke-10 Liga Super.