Status lagenda bola sepak dunia, Lionel Messi menjadi tanda tanya menjelang Piala Dunia apabila beliau dilaporkan mengalami kecederaan.
Pemain berusia 35 tahun itu dilaporkan bakal terlepas kunjungan bersama Paris Saint-Germain ke Lorient hujung minggu ini untuk aksi Ligue 1 akibat kecederaan.
Kapten pasukan kebangsaan Argentina itu dilaporkan mengalami kecederaan tendon Achilles yang memaksa khidmatnya dilupakan buat sementara waktu.
Walau bagaimanapun, kecederaan yang dialami Messi tidak seteruk yang disangka sekaligus melegakan puluhan juta penyokong yang mahu melihat aksinya di pentas Piala Dunia Qatar 2022.
Messi yang juga merupakan pemenang tujuh kali gelaran Ballon d’Or itu sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang untuk membawa skuad Argentina kendalian Lionel Scaloni muncul juara pada edisi kali ini.
Argentina kini dalam momentum terbaik apabila mereka telah memenangi Copa Amerika pada tahun 2021 sekaligus membuka peluang yang lebih cerah buat mereka kali ini.
Pihak perubatan di PSG bagaimanapun memaklumkan bahawa bintang itu hanya cedera ringan menjangkakan kepulangan Messi akan dilihat perlawanan terakhir Ligue 1 menentang Auxerre.
Argentina akan memulakan kempen Piala Dunia pada 22 November ini dan diundi berada dalam satu kumpulan bersama Arab Saudi, Mexico serta Poland pada peringkat kumpulan.