Mesut Ozil Penuhi Jemputan Anwar Ibrahim
MakanBola
Anwar Ibrahim

Legenda bola sepak Jerman, Mesut Ozil memenuhi jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertandang ke Malaysia.

Ini selepas beliau hadir sebagai tetamu kehormat Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) yang diadakan di Kompleks Seri Perdana pada 26 April lalu.

Kehadiran Ozil sekaligus memenuhi undangan Anwar yang dibuat semasa mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye pada Januari lalu.

Jemputan itu dibuat bagi membolehkan legenda Arsenal itu berkongsi pengalaman berkaitan bola sepak profesional, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan golongan muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.

Foto kehadiran Ozil dalam program FIM dikongsikan di semua platform media sosial rasmi Anwar baru-baru ini.

Selain legenda Real Madrid itu, antara panel penceramah forum tersebut ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmeddin Bilal Erdogan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Khairudin Aljunied.

Ozil dijangka berada di Malaysia sehingga 30 April ini untuk menghadiri beberapa program.