Status sama ada KL City FC bakal kekal dalam Liga Super atau tidak bakal ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Perkara ini dinyatakan sendiri Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar apabila ditanya tentang hal itu oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Jawatankuasa Eksekutif KLFA bakal mengadakan mesyuarat pada 15 Mac ini untuk memutuskan status The City Boys dalam saingan liga.
“Sama ada boleh diteruskan ke musim baru Liga Super atau tidak, itulah soalnya. Isunya di sini ialah kewangan,” katanya.
“Apa-apa pun, perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat exco KLFA pada 15 haribulan ini. Jadi daripada situ, kita akan putuskan.
“Ini bukan keputusan saya seorang, ini keputusan dalam mesyuarat (yang akan berlangsung nanti).”
Syed Yazid turut memaklumkan kenyataan yang dibuat beliau berkenaan status The City Boys sebelum ini dibuat atas kapasiti peribadi.
“Apa yang keluar di akhbar dan media sosial itu adalah pandangan peribadi saya. Jadi, saya tak nak disalahfaham dengan peminat-peminat bola sepak Kuala Lumpur,” ujarnya.
“Jadi, saya mengadakan perbincangan dengan CEO saya, Stanley (Bernard) supaya keluarkan satu kenyataan bahawa itu merupakan pandangan peribadi saya.
“Dan ia (agenda status KL City) perlu dibawa ke mesyuarat exco dan bincang bersama.”