MFL Penuhi Permintaan Selangor
MakanBola
Selangor FC

Malaysian Football League (MFL) menerima permintaan oleh pasukan Selangor berhubung penjadualan Liga Super untuk perlawanan akan datang.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, MFL memberitahu bahawa tarikh perlawanan Liga Super minggu ke-20 antara Selangor vs Imigresen telah dipinda 10 hari lebih awal dari tarikh sebenar.

Aksi yang sepatutnya berlangsung pada 18 Mac 2026 telah diawalkan ke tarikh baharu iaitu 8 Mac dengan venue yang masih lagi sama di laman keramat Selangor, Stadium MBPJ.

Pindaan ini telah disahkan MFL selepas mengambil kira permohonan pasukan mengenai tarikh asal yang terlalu hampir dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mac 2026.

Selain itu, keputusan MFL untuk meminda jadual tersebut turut dilakukan atas faktor jadual pasukan Selangor yang sudah tidak terlibat dalam sebarang kejohanan peringkat Asia.

“Pindaan ini dimohon oleh Selangor FC disebabkan tarikh asal terlalu hampir dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Selangor FC tidak terlibat dengan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL2),” umum MFL.

Ketika ini, Selangor menduduki tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 32 mata selepas 16 perlawanan dan bakal melayani kunjungan Kuching City dalam aksi pada Ahad.