Selangor Berubah Sejak Kim Pan-gon Tiba
MakanBola
Selangor FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya Selangor FC dilihat menjadi pasukan yang lebih baik sejak dibimbing jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon.

Ini kerana Razman melihat Selangor berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan positif di atas padang.

Beliau percaya ini berlaku disebabkan aura yang dimiliki bekas jurulatih Harimau Malaya itu. Hal ini menyebabkan para pemain menghormati dan berjuang demi Pan-gon.

“Apa yang mengubah pasukan Selangor ini adalah karakter yang dibawa oleh Kim Pan-gon. Sebab kita tahu dia seorang jurulatih yang mungkin tak banyak bercakap, tapi sangat tegas dengan karakter dia.

“Dia ada aura sebagai seorang jurulatih yang membuatkan pemain-pemain lain menghormati beliau.

“Jadi, ianya membawa kepada keputusan di atas padang. Pemain berjuang dan bermain bersungguh-sungguh bermaksud untuk mendapatkan keputusan yang positif,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Sejak Pan-gon mengemudi Selangor pada Januari lalu, pasukan itu bukan saja belum tewas dalam tujuh perlawanan. Malah, Selangor turut layak ke peringkat separuh akhir Shopee Cup.

Selangor berharap dapat meneruskan momentum itu bila menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia.