MFL Tegur Demonstrasi Penyokong Selangor
MakanBola
MFL/SSFC

Malaysian Football League (MFL) menegur demonstrasi yang dibuat penyokong Selangor FC di Wisma FAM baru-baru ini.

Pada 17 Mac lalu, sekumpulan penyokong Merah Kuning mengadakan demonstrasi sebagai tanda bantahan terhadap pelbagai isu bola sepak negara.

Ini termasuk status empat pemain negara yang beraksi di Liga Super meskipun MFL telah menjelaskan secara panjang lebar tentang status mereka.

Video demonstrasi penyokong itu turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom di X.

MFL menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan sebarang pandangan. Pada masa sama, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan reputasi industri bola sepak tempatan adalah tidak wajar.

Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan semua faktor termasuk peraturan pertandingan dan kepentingan semua pemegang taruh.

MFL juga menyeru semua pihak agar menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara.

MFL turut menegaskan proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.

Proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi di dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.