Maybank kini memimpin carta liga Hoki Malaysia (MHL) setelah mengatasi UiTM HA-KPT pada petang Jumaat.
Permulaan aksi memperlihatkan penguasaan bola jelas memihak Maybank dan tidak menunggu lama untuk terus meledak menerusi Muhajir Abdul Rauf seawal minit keenam.
Selang empat minit kemudian, Muhajir Abdul Rauf terus menambah duka UiTM dengan gol kedua Maybank yang juga gol kedua peribadi beliau pada perlawanan ini hasil satu gerakan solo dari tengah gelanggang.
UiTM HA-KPT cuba mengatur strategi namun Maybank terlalu unggul untuk terus mendahului 3-0 menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-14.
Separuh masa pertama, UiTM HA-KPT 0-3 Maybank.
Babak kedua bermula menyaksikan giliran pemain muda, Alfarico Liau pula mencetak nama sebagai penjaring untuk Maybank terus selesa mendahului dengan defisit empat gol.
Maybank yang dibimbing Azrul Effendy terus menguasai permainan dan berjaya menyumbat gol kelima menerusi Mohamad Ashran Hamsani yang pantas menyambar hantaran lintang Muhajir Abdul Rauf pada minit ke-48.
Pukulan sudut penalti terus menjadi kelebihan Maybank untuk menembusi gawang UiTM dengan kali ini giliran pemain kebangsaan, Najmi Farizal Jazlan membuktikan bisanya untuk gol keenam Maybank.
Razie Rahim berjaya menambah gol ketujuh buat Maybank beberapa saat sebelum aksi tamat untuk menjadikan keputusan akhir, UiTM HA-KPT 0-7 Maybank.
Kemenangan ini menyaksikan Maybank kini mendahului carta liga dengan 23 mata, tiga mata mengatasi pesaing terdekat, TNB yang tidak beraksi kali ini.