MHL: TNB Muncul Juara Liga, Kenduri Gol Tewaskan JM Antsbees
UltraSukan
MHC
Advertisements

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggondol trofi kedua mereka untuk musim 2024 apabila bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL).

Kejayaan itu dicapai selepas mereka meraih kemenangan terbesar dalam liga untuk musim 2024 dengan membelasah Jiwa Mohan (JM) Antsbees 22-1.

Firhan Ashari, Jang Jong-hyun dan Najib Abu Hassan memastikan TNB mendahului dalam tempoh tiga minit suku pertama perlawanan.

Advertisements

JM Antsbees semakin ketinggalan apabila Jong-hyun menyumbat gol keempat perlawanan menerusi pukulan penalti pada minit kelima.

JM Antsbees merapatkan jurang menerusi gol padang pemain import Korea Selatan, Moon U-ju pada minit kelapan.

Advertisements

Bagaimanapun, pasukan lawan tersentak apabila TNB menyumbat gol menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (minit kesembilan) dan dua gol Azrai Aizad Abu Kamal (minit ke-10 dan ke-12).

Suku kedua perlawanan menyaksikan Jong-hyun mencipta hatrik pada minit ke-22. Ini disusuli tiga lagi gol penalti yang disudah Syed Mohamad Syafiq pada minit ke-24 dan ke-28. Keputusan 11-1 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Bersambung selepas rehat, TNB terus ghairah memburu gol. Empat lagi gol dijaringkan pada suku ketiga perlawanan hasil sumbangan Azril Misron (minit ke-31), Azrai Aizad (minit ke-33) dan Shahril Saabah (minit ke-45).

JM Antsbees semakin hilang punca apabila memasuki suku keempat perlawanan. TNB terus dominan dengan menyumbat tujuh lagi gol.

Advertisements

Semua gol disumbang oleh Jong-hyun (minit ke-46 dan 51), Azrai Aizad (minit ke-47 dan 53), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (minit ke-50), Danish Aiman Khairul Anuar (minit ke-56) dan Firhan (minit ke-58). Keputusan 22-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Meskipun Terengganu Hockey Team (THT) mengumpul mata sama dengan TNB iaitu 26 mata, THT terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Ini disebabkan TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini memiliki kelebihan gol yang besar iaitu 82 gol berbanding THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom yang menjaringkan 26 gol.

THT menewaskan satu lagi pencabar kejuaraan liga musim 2024 iaitu Maybank dengan keputusan 4-3.

Keputusan ini menyaksikan THT gagal mempertahankan trofi kedua yang dimenangi mereka pada musim 2023.

Ini selepas TNB berjaya merampas gelaran juara Piala Sumbangsih 2024 daripada pasukan Pantai Timur itu pada awal Februari lalu.

TNB bergelar juara Piala Sumbangsih selepas menundukkan THT 3-1 menerusi penentuan shoot-out.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram