MHL: TNB Tepati Ramalan, Atasi Young Elephants-Pahang
UltraSukan
MHC

Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan momentum kemenangan setelah menumbangkan Young Elephants-Pahang dalam aksi Malaysia Hockey League (MHL).

TNB yang baru sahaja menjuarai Piala Sumbangsih MHL pada Rabu dilihat tiada masalah untuk menguasai perlawanan sejak minit pertama permainan.

Hasilnya, pemain kebangsaan, Azrai Aizad berjaya membuka tirai jaringan menerusi pukulan kilas yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.

Pemain import, Jang Jong Hyun menggandakan jaringan buat TNB melalui pukulan sudut penalti sebelum Azril Misron meletakkan pasukan mereka selesa mendahului 3-0.

Sebelum suku pertama tamat, pemain Young Elephants-Pahang, Tengku Nasr Ikmal cemerlang menjaringkan gol pertama buat pasukannya.

Pada minit ke-41, Jang Jong Hyun terus mencetak nama sebagai penjaring buat TNB apabila dengan tenang menyudahkan penalty stroke yang diberikan.

TNB terus mengganas dengan gol kelima dan keenam menerusi Firhan Ashari untuk skuad bimbingan Saiful Zaini.

Jang Jong Hyun melengkapkan jaringan hatrick yang juga gol ketujuh sebelum Shahril Saabah menutup malam gemilang TNB dengan gol kelapan.

Tamat perlawanan, TNB 8-1 Young Elephants Pahang.

Dengan keputusan ini, TNB terus memberi tekanan kepada pasukan lain di persada liga dengan mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan dan dua keputusan seri.