Ketua jurulatih Arsenal FC, Mikel Arteta mengakui terdapat dua punca utama yang menghalang Arsenal merangkul kejuaraan Premier League musim 2024/2025.
Arsenal terpaksa akur terlepas gelaran juara liga kepada Liverpool yang sah menamatkan saingan liga di tangga pertama sejak 27 April lalu setelah menang 5-1 ke atas Tottenham Hotspur.
Mikel Arteta turut meluahkan keyakinan terhadap pasukannya yang mampu menjuarai liga pada awal musim namun perkara yang sebaliknya pula terjadi apabila menuju ke penghujung musim.
“Sejujurnya pada awal musim saya membayangkan Arsenal menjulang kejuaraan liga pada perlawanan akhir di gelanggang sendiri.
“Namun setelah apa yang berlaku sepanjang 11 bulan lalu, kita terpaksa akur walaupun pahit untuk ditelan.
“Ini musim yang penuh pengajaran buat pasukan. Pelbagai cabaran yang perlu saya, pegawai serta pemain harungi bersama, ini musim yang amat bermakna.
“Kad merah dan isu kecederaan. Tanpa dua perkara itu kita tak tahu apa yang akan berlaku. Tapi adakah kita akan menghampiri kejuaraan tanpa dua perkara itu? Jawapan saya tanpa ragu adalah ya berdasarkan persembahan yang kita pamerkan.
“Tetapi nanti kita perlu buat dengan cara lain pula kerana tahap permainan pasti akan semakin meningkat.
“Apabila kamu lihat berapa mata yang Arsenal raih sepanjang tiga musim ini, konsisten untuk tidak bergelar juara adalah luar biasa.
“Kita benar-benar semakin hampir (bergelar juara). Jadi caranya adalah kita perlu teruskan untuk menjadi lebih bagus.” ujar Mikel Arteta dalam temu bual Sky Sports.
Arsenal merekodkan layangan kad merah paling banyak sepanjang 36 perlawanan liga musim ini apabila pasukan itu dilayangkan kad merah sebanyak 6 kali.
Isu kecederaan turut menghantui para pemain Arsenal seperti Gabriel Jesus, Takehiro Tomiyasu, Kai Havertz, Bukayo Saka dan Riccardo Calafiori sepanjang musim ini.
Gabriel Jesus mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), Tomiyasu pula mengalami kecederaan lutut manakala Bukayo Saka dan Havertz mengalami kecederaan hamstring.
Arsenal mempunyai baki dua perlawanan lagi menentang Newcastle United dan Southampton untuk mengesahkan kedudukan di tangga kedua liga musim ini.