Jurulatih KL City FC, Miroslav Kuljanac berharap masalah kecederaan yang membelenggu pasukan itu segera berakhir.
Masalah kecederaan bukan sekali merumitkan perancangan jurulatih Croatia itu dalam membentuk skuad The City Boys yang mantap.
Terbaru, giliran pemain pertahanan, Anwar Ibrahim yang terpaksa disisihkan Kuljanac. Anwar mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Selangor FC.
Kecederaan pemain berusia 25 tahun itu menyebabkan Kuljanac memasukkan S. Sharvin sebagai penggantinya pada minit ke-81.
Isu ini meresahkan beliau terutama menjelang aksi Shopee Cup menentang wakil Vietnam, Cong An Ha Noi (CAHN) pada 23 Januari ini.
“Seperti yang anda lihat, Anwar terpaksa disisihkan (akibat kecederaan). Brendan Gan bakal kembali (berlatih) tidak lama lagi.
“Saya perlu persiapkan Jovan (Motika) selepas beliau beraksi selama setengah jam tanpa sebarang latihan, beliau mahu bermain. Saya risau beliau akan mengalami kecederaan,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
“Saya harap kekuatan kita akan kembali semula dalam aksi (Shopee Cup) menentang kelab Vietnam (CAHN) pada 23 Januari. Itulah harapan saya, semua orang kembali.”
Aksi KL City dan Selangor berakhir dengan kemenangan tipis 1-0 buat Merah Kuning. Gol tunggal Alvin Fortes memastikan The City Boys tewas buat kali ketujuh dalam liga.
Kini, fokus KL City ialah aksi keempat Kumpulan B Shopee Cup menentang CAHN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Aksi ini dilihat aksi penting buat mereka jika ingin layak ke separuh akhir.