Indonesia telah menyenaraikan barisan pemain terbaik menjelang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bulan hadapan. Antara pemain bintang yang turut tersenarai adalah pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat.
Hampir kesemua pemain yang dipanggil ke kem latihan di Turki telah melaporkan diri dan memulakan latihan di bawah kendalian jurulatih, Shin Tae-yong.
Para penyokong Indonesia walau bagaimanapun sedikit hairan kerana kelibat Jordi Amat masih tidak kelihatan walaupun kem latihan sudah bermula sejak 21 Disember lagi.
Shin Tae-yong menyedari akan kerisauan yang bermain di minda penyokong Sang Garuda. Jurulatih dari Korea Selatan itu mendedahkan bahawa Jordi Amat mengalami kecederaan bahu dan sedang menjalani pemulihan di Sepanyol.
“Sebelum ini Jordi (Amat) sudah meminta keizinan daripada saya untuk menjalani rawatan kecederaannya di Sepanyol.
“Ketika Liga Malaysia berjalan, dia mengalami kecederaan bahu namun dia cuba melawan kecederaannya itu. Jadi, untuk pemulihannya, dia pergi ke Sepanyol,” jelas Shin Tae-yong kepada Bolaokezone.
Kelibat Jordi Amat dalam kem latihan skuad kebangsaan Indonesia dijangka akan disaksikan pada hari ini (28 Disember).
Selain Jordi, terdapat lima lagi pemain yang masih belum menghadirkan diri ke kem latihan di Turki. Ianya termasuk Rafael Struick, Ivar Jenner, Sandy Walsh, Elkan Baggott dan Justin Hubner yang mana masing-masing terikat dengan jadual perlawanan liga.