Bintang utama Liverpool FC, Mohamed Salah menegur sikap sebahagian penyokong Liverpool dalam sebuah temu bual bersama Gary Neville untuk Sky Sports.
Salah mempertahankan rakan sepasukannya, Trent Alexander-Arnold yang dikecam hebat oleh penyokong Liverpool apabila memilih tidak melanjutkan kontrak dan menyertai Real Madrid pada akhir musim ini.
Trent terus menerima kecaman apabila di ‘boo’ ribuan penyokong apabila masuk selaku pemain gantian ketika Liverpool seri 2-2 menentang Arsenal tempoh hari.
Salah beranggapan Trent tidak patut menerima layanan sedemikian rupa setelah apa yang telah pemain pertahanan itu berikan kepada pasukan sejak menyarung jersi Liverpool.
“Sukar untuk seorang pemain berada hingga 20 tahun di sebuah kelab. Sudah tentu ada rasa cinta pada kelab tetapi secara mental pemain tetap akan rasa keletihan.
“Saya ingin ucapkan selamat maju jaya pada Trent tetapi sebenarnya saya rasa penyokong sedikit keterlaluan terhadap Trent.
“Maafkan saya tetapi Trent tidak patut menerima layanan sebegitu. Dia sepatutnya menerima layanan yang baik daripada penyokong Liverpool setelah apa yang dia berikan kepada kelab dan penyokong.
“Saya terkejut apabila Trent diejek dalam perlawanan menentang Arsenal kerana itu bukan cara penyokong Liverpool.
“Itu bukan cara kita (Liverpool). Kita sentiasa menghargai pemain-pemain yang datang walaupun mereka datang hanya untuk 6 bulan.
“Bayangkan seorang pemain yang memberikan segalanya selama 20 tahun hidupnya kepada kelab dilayan sebegitu. Saya harap ini akan berubah pada perlawanan seterusnya kerana Trent layak diraikan sebelum berpisah kelak.
“Ini keputusan Trent dan saya tidak boleh menyuruhnya untuk kekal walaupun saya ingin dia kekal kerana itu untuk masa hadapan dia.” ujar Salah kepada Neville.
Liverpool sah menjuarai Premier League di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Arne Slot musim ini namun terpaksa akur kehilangan khidmat pemain pertahanan, Trent Alexander-Arnold.
Liverpool seterusnya akan menentang Brighton pada 20 Mei kelak dan Crystal Palace pada 25 Mei untuk aksi terakhir Premier League.