Advertisement
Moto3: Damok Tamatkan Perlumbaan Di Tempat Ke-20
UltraSukan
UltraSukan
Syarifuddin Azman

Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau Damok menamatkan perlumbaan Grand Prix Malaysia di tempat ke-20 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) hari ini.

Bermula dari kedudukan terakhir hari ini, pelumba MT Helmet MSI Racing Team berusia 21 tahun itu berharap dapat mencipta pencapaian lebih baik dalam perlumbaan.

Sebaik perlumbaan, Damok menanti peluang untuk memintas dan mendapatkan kedudukan yang baik.

Peluang itu tiba pada pusingan kelima apabila berlaku kemalangan membabitkan beberapa orang pelumba.

Ini membuka ruang kepada Damok pada satu ketika menduduki tangga ke-18. Bagaimanapun, malang menimpa beliau apabila terjatuh dari jentera KTM yang ditungganginya.

Biarpun Damok berjaya meneruskan perlumbaan, beliau kemudiannya menamatkan perlumbaan di tangga ke-20.

Ini sekaligus menggagalkan beliau daripada menambah kutipan lima mata yang dikumpul setakat ini.

Pencapaian terbaik Damok di Sepang ialah kedudukan ke-16 untuk perlumbaan kategori sama pada tahun 2022.

Walaupun berada di kedudukan ke-20, Damok berpuas hati dengan jentera yang ditungganginya. Sekiranya beliau berpeluang untuk berlumba dalam kategori ini pada tahun hadapan, maka jentera ini menjadi pilihannya.

“Saya harap tahun depan kalau saya sambung (lagi berlumba), jentera yang macam ini saya nak dalam setiap perlumbaan,” katanya bila ditemubual wartawan Astro Arena, Syenn Yeoh.

Perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia ini dimenangi oleh pelumba Belanda yang berusia 18 tahun, Collin Veijer. Veijer menafikan cabaran rakan sepasukan dari Jepun, Ayumu Sasaki.

Sementara pendahulu Moto3 musim ini, Jaume Masia dari Sepanyol terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga.

Selepas ini, semua pelumba Moto3 akan bersaing di Litar Lusail, Qatar untuk Grand Prix Qatar pada minggu hadapan.