Moussa Sidibe Tinggalkan JDT, Pilih Ke Bhayangkara
MakanBola
Bhayangkara FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) melepaskan Moussa Sidibe untuk menyertai Bhayangkara FC di Indonesia.

Perpindahan Moussa Sidibe dari JDT telah diumumkan oleh pihak pengurusan Bhayangkara FC menerusi satu hantaran video pengenalan dengan ucapan selamat datang ke kelab berkenaan.

Video itu memaparkan Moussa Sidibe yang diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu Bhayangkara FC dan menjadi rekrut untuk memperkuat pasukan di baki saingan Liga 1 Indonesia.

”Mari kita alu-alukan kehadiran Moussa Sidibe,” umum Bhayangkara FC.

Untuk rekod, Moussa Sidibe kembali bersama JDT pada awal musim ini setelah dipinjamkan ke kelab Indonesia, Persis Solo pada musim 2024-2025 yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee.

Persaingan sengit khusus di posisi sayap dan serangan JDT telah menghadkan peluang Moussa Sidibe untuk bermain di dalam kesebelasan utama Harimau Selatan pada musim kali ini.

Statistik di laman Transfermarkt menunjukkan Moussa Sidibe hanya tampil sebanyak 5 kali bersama JDT dengan 265 minit permainan yang terkumpul musim ini tanpa sebarang gol dan bantuan jaringan.

Semakan di laman terkemuka itu turut mendedahkan bahawa perpindahan Moussa Sidibe dari JDT ke Bhanyangkara FC ini adalah secara percuma tanpa sebarang pengesahan mana-mana pihak.