Advertising
MPFL: JDT Terlalu Hebat, Kalahkan Terengganu 8-1
UltraSukan
UltraSukan
Terengganu Futsal Official

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengekalkan kedudukan di puncak Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) setelah membelasah Terengganu dalam aksi minggu kedua.

Kedua-dua pasukan turun ke Stadium Tertutup Pasir Gudang dengan momentum terbaik selepas mencatatkan kemenangan besar 6-1 ke atas lawan masing-masing di aksi pembukaan minggu lalu.

JDT berjaya membuka tirai jaringan menerusi Azri Rahman yang menyambar hantaran lintang Awalluddin Mat Nawi dari sebelah kiri pintu gol Terengganu seawal minit pertama.

Ad

Ridzwan Bakri cemerlang meletakkan tuan rumah selesa di hadapan selepas pantas menyempurnakan hantaran Helio Neto pada minit ke-12 sebelum giliran Abu Hanifah pula mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga JDT.

Ad

Pasukan pelawat cuba bangkit merencana serangan namun wira JDT minggu lalu, Saad Abdul Sani berjaya menambah koleksi jaringan beliau di MPFL dengan gol keempat buat skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-16.

Naib juara MPFL 2023 itu kemudiannya berjaya meledak gol kelima menerusi Danial Dain yang bijak memanfaatkan kesilapan pemain Terengganu sekaligus mengakhiri separuh masa pertama dengan keputusan JDT 5-0 Terengganu.

Ad
Ad
View this post on Instagram

A post shared by Terengganu Futsal Team (@terengganufutsalofficial)

Ad

Kembali dari rehat, Terengganu yang beraksi tanpa pemain import musim ini terus dihukum dengan jaringan keenam dan ketujuh JDT menerusi Azri Rahman dan Fakhrul Islam dalam tempoh kurang seminit.

JDT terus mengganas dengan gol kelapan selepas rembatan kencang Saad Abdul Sani membias mengenai pemain Terengganu untuk terus menerjah gawang Terengganu yang dikawal, Kabilan Murugaiah pada minit ke-27.

Pasukan pelawat sesekali hadir menguji pintu gol JDT menerusi Alif Mat Amin namun aksi tangkas penjaga gol JDT, Aiman Fikry berjaya menafikan percubaan itu.

Usaha Terengganu mencari gol akhirnya berhasil selepas Akram Mukhriz bijak menampan hantaran lintang rakan sepasukan untuk mengurangkan defisit gol perlawanan lima minit sebelum aksi tamat.

Tiada jaringan tambahan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan JDT 8-1 Terengganu.

Dengan keputusan ini, JDT terus selesa di puncak liga dengan enam mata maksimum, tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Sabah yang tewas kepada Gombak TOT United dalam satu lagi aksi di KSN Panasonic Shah Alam.