Selangor berjaya meraih kemenangan pertama setelah membelasah KL City dalam aksi ketiga Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024.
Kedua-dua pasukan yang terdesak mahu meraih kemenangan sulung setelah mencatatkan dua kekalahan berturut-turut dalam dua aksi pertama liga.
Selangor bermula garang dan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit pertama permainan menerusi rembatan kaki kiri bintang muda, Syahir Iqbal Khan.
Berselang dua minit kemudian, Wellington Pereira berjaya menggandakan kelebihan buat The Red Giants sebelum Faris Johan menyudahkan umpanan Syahir pada minit kelapan untuk menjadikan kedudukan 3-0.
KL City cuba bangkit mendapatkan gol pertama namun aksi tangkas penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin jelas menghampakan pasukan pelawat.
Ketika KL City sedang rancak mengasak, Selangor mengambil peluang untuk menjaringkan gol keempat sekali lagi menerusi penyerang import, Wellington Pereira pada minit ke-19.
Separuh masa pertama tamat, Selangor 4-0 KL City.
Babak kedua menyaksikan permainan agak sedikit perlahan sebelum KL City berjaya menyumbat gol pertama mereka menerusi Navin Das Arokiadass pada minit ke-33.
Belum sempat KL City habis bersorak, tuan rumah terus membalas dengan dua jaringan pantas hasil penyudah pemain berpengalaman, Khairul Effendy untuk menjadikan kedudukan 6-1.
Tamat perlawanan, Selangor 6-1 KL City.
Keputusan ini menyaksikan kedudukan Selangor melonjak ke tangga kelima liga manakala KL City kekal di tangga terbawah liga tanpa sebarang mata setelah tiga perlawanan.
Aksi liga seterusnya menyaksikan Selangor akan berdepan ujian getir menentang naib juara MPFL musim lalu, JDT di laman lawan pada 16 Mac manakala KL City bakal melayani kunjungan Sabah di Ortuseight Arena pada 17 Mac.