MSN Nafi Abaikan Azizulhasni Awang
UltraSukan
UCI

Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak menghiraukan perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bagi menghadapi temasya besar termasuk Sukan Olimpik 2028.

Kenyataan itu dibuat badan berkenaan menerusi satu kenyataan tegas di semua platform rasmi MSN. MSN menyifatkan dakwaan bahawa badan itu tidak menghiraukan perancangan beliau dan tidak mengenang jasa beliau sebagai satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, MSN memaklumkan badan itu sentiasa memberi sokongan penuh kepada Azizulhasni. Hal ini termasuk perancangan jangka panjang beliau untuk menghadapi kejohanan-kejohanan besar termasuk Sukan Olimpik 2028.

MSN turut memaklumkan siri pertemuan sudah diadakan dengan Azizulhasni sejak Julai lalu termasuk membabitkan Olympic Pathway. Antara perkara yang disentuh ialah keperluan beliau untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

MSN turut memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari bukan saja ambil maklum tentang perkembangan terkini anak jati Dungun, Terengganu itu. Malah, Taufiq turut memberi sokongan kepada Azizulhasni.

Hal ini diterjemah menerusi pertemuan yang diadakan bersama beliau pada 13 Ogos lalu. Pertemuan itu turut disertai Ketua Program Road to Gold (RTG), Akmal Ahmad Zainuddin, Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman dan Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad.

Antara perkara yang disentuh ialah tambahan sokongan sains sukan dan perubatan, akses kepada fasiliti MSN dan ISN serta pelaksanaan program latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.

“MSN dalam pertemuan itu telah menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan itu, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan.

“Paling utama, pertemuan itu telah memperteguhkan lagi sokongan kepada Datuk Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya,” kata MSN dalam satu kenyataan.

Setelah itu, perkara berkenaan dibawa ke dalam mesyuarat mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada hari yang sama. Kesemua ahli lembaga pengurusan bersetuju meluluskan cadangan keperluan yang diperlukan Azizulhasni.

MSN kemudiannya menghantar e-mel kepada Azizulhasni pada 27 Ogos lalu untuk memuktamadkan hasil perbincangan termasuk pelan program dan anggaran perbelanjaan.

MSN juga terkejut dengan kenyataan jurulatih Azizulhasni, John Beasley, baru-baru ini yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan pelumba berkenaan dilakukan. Hakikatnya, pertemuan pada 13 Ogos lalu membuktikan perbincangan itu berlaku.

Azizulhasni dan MSN juga bersetuju bahawa pengumuman mengenai program latihan ke Olimpik 2028 hanya akan dibuat secara bersama selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada 14 hingga 18 Oktober 2026.

“MSN menghormati permintaan itu, terutama demi memastikan fokus dan persiapan Datuk Azizulhasni tidak terjejas sebelum temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya pada September ini,” tambahnya.

Sebelum ini, Azizulhasni meluahkan rasa kecewa dan mempersoalkan sama ada khidmatnya untuk memburu kelayakan ke Sukan Olimpik 2028 masih diperlukan atau sebaliknya.