Advertisement
Muangthong United Bernasib Baik Tewaskan Selangor
ACL
MakanBola
Muangthong United FC

Penolong jurulatih Muangthong United, Uthai Boonmoh mengakui pasukannya cukup bertuah kerana berjaya menewaskan Selangor FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Aksi kelima Kumpulan H dilihat misi hidup mati buat anak buah Gino Lettieri. Ini kerana hanya kemenangan ke atas Merah Kuning yang dapat menghidupkan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya.

Muangthong memulakan perlawanan dengan langkah kiri apabila ketinggalan menerusi gol Quentin Cheng. The Kirins kemudiannya bangkit meraih kemenangan pada separuh masa kedua menerusi Felicio Brown Forbes dan Poramet Arjvirai.

Uthai mengakui tuah sedikit sebanyak memihak kepada mereka. Ini kerana banyak serangan yang digerakkan Merah Kuning gagal menerjah jaring termasuk tiga percubaan terkena tiang.

“Terima kasih kepada para penyokong yang hadir ke stadium (Stadium MBPJ) untuk menyokong kita. Perbezaan antara separuh masa pertama dan separuh masa kedua ialah mereka (Selangor) menjaringkan gol terlebih dahulu.

“Dan pada separuh masa kedua, kita menjaringkan satu gol lebih (daripada Selangor). Selepas kita menjaringkan gol (kedua), itulah yang menjadi pemisah.

“Kita juga cukup bertuah percubaan mereka tiga kali terkena tiang. Ini satu detik yang bagus buat kita kerana kadang-kadang, kita perlukan tuah dalam bola sepak,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Penolong jurulatih berusia 54 tahun itu percaya kemenangan ini mampu membakar semangat Muangthong menjelang aksi terakhir kumpulan pada 5 Disember ini.

“Kemenangan ini sangat penting. Ia memberikan kita keyakinan dan momentum untuk satu lagi peluang (meraih kemenangan) untuk mara ke pusingan seterusnya,” ujarnya.

Kemenangan ini menyaksikan Muangthong kini memintas Selangor di tangga kedua Kumpulan H dengan lapan mata.

Selepas ini, The Kirins bakal berdepan Jeonbuk Hyundai Motors untuk aksi terakhir kumpulan pada 5 Disember.

Seandainya mereka tewas atau seri dalam aksi berkenaan, Muangthong memerlukan bantuan Dynamic Herb Cebu untuk mengekang kemaraan Selangor. Ini bagi memastikan mereka muncul naib juara Kumpulan H.