Tonggak tengah FC Osaka, Muhammad Abu Khalil berikrar mahu memanfaatkan pengalaman di Jepun bagi membantu Malaysia di Piala ASEAN Mitsubishi Electric.
Pada Jumaat, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai nama 26 pemain yang terpilih bagi membawa cabaran negara di Piala ASEAN Mitsubishi Electric pada Disember.
Beberapa nama mencuri tumpuan peminat antaranya Harith Samsuri (Negeri Sembilan), Jimmy Raymond (Kuching City), Danial Amier (Kuching City) begitu juga dengan Muhammad Abu Khalil (FC Osaka).
Pemain berusia 19 tahun ini meluahkan kesyukuran apabila namanya berjaya memikat hati pengendali Harimau Malaya, Pau Marti untuk dibawa ke kejohanan peringkat ASEAN itu.
“Saya benar-benar bersyukur kerana telah terpilih untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia. Ini adalah salah satu impian saya untuk bermain bersama negara saya,” ujar Muhammad kepada FC Osaka.
Tambah Muhammad, pengalaman selama di Jepun ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu skuad negara selain memberi imej yang positid buat kelabnya, FC Osaka.
“Saya ingin menggunakan pengalaman yang saya peroleh setiap hari di FC Osaka dan di kampung halaman saya di Higashi Osaka untuk memberikan persembahan terbaik dalam Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024.”
“Saya juga akan berusaha sebaik mungkin bagi memberikan persembahan terbaik dalam Piala AFF dan mempopularkan nama FC Osaka serta Higashi Osaka di seluruh ASEAN.”
Ketika ini, FC Osaka sedang berjuang bagi meraih slot ke J-League 2 (J2) dan Muhammad yakin walaupun tanpa kelibat beliau, pasukannya itu mampu mencapai kejayaan kelak.
“Akhir sekali, saya akan meninggalkan pasukan ketika playoff kenaikan ke J2, tetapi saya yakin rakan sepasukan saya pasti akan berjaya meraih kenaikan,” kata Muhammad.
Untuk rekod, Muhammad menyertai FC Osaka dari Selangor II pada Julai yang lalu secara pinjaman selama 6 bulan dan masih belum mencatat sebarang penampilan bersama kelab J3 itu.
Muhammad dan skuad Harimau Malaya dijadual melapor diri pada Khamis, 5 Disember 2024 sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat, 6 Disember 2024.