Pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil secara sah sertai sebuah kelab di Jepun, FC Osaka.
Muhammad sertai FC Osaka secara pinjaman selepas pengurusan Merah Kuning bersetuju untuk meminjamkan pemain muda tersebut untuk beraksi bersama FC Osaka dalam saingan JLeague 3.
Pemain tengah berbakat ini pada 24 Jun hingga 2 Julai lalu telah terbang ke Jepun untuk menjalani sesi percubaan bersama FC Osaka. Prestasi dan persembahan memukau yang ditampilkan pemain berusia 19 tahun itu telah mendapat perhatian staf kejurulatihan dan pengurusan pasukan disana.
Kapten skuad muda Selangor ini berharap semua pihak mendoakan kejayaan beliau disana. Beliau tekad untuk membuktikan kemampuan sebenar dan komited memberikan yang terbaik di bumi Jepun.
“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman. Saya lihat ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari.”
“Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3. Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar. InshaaAllah,” ujar Muhammad.
FC Osaka merupakan kelab Divisyen 3 Jepun yang beraksi dalam saingan JLeague 3. Ketika ini, Osaka FC sedang berada di kedudukan ketiga dalam saingan JLeague 3 selepas 14 perlawanan.
Muhammad merupakan pemain Malaysia kedua yang bakal beraksi dalam saingan JLeague 3. Sebelum ini, tonggak Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin juga beraksi dalam liga tersebut bersama YSCC Yokohama.