Selain Luqman Hakim Shamsudin, seorang lagi pemain muda Malaysia dijangka akan beraksi di Jepun.
Luqman Hakim yang kini bersama YSCC Yokohama sedang beraksi dalam saingan JLeague 3. Beliau secara rasmi sertai pasukan itu pada Januari tahun ini selepas dipinjamkan daripada kelab asal, KV Kortrjik.
Baru-baru ini, pemain muda Selangor Muhammad Abu Khalil dikhabarkan bakal menyertai sebuah pasukan yang beraksi di JLeague 3 iaitu FC Osaka. Pemain berusia 19 tahun itu ke Jepun untuk menjalani siri latihan dan percubaan.
Selama tempoh keberadaan beliau disana, Muhammad berjaya raih perhatian staf kejurulatihan dan pengurusan pasukan ketika sesi percubaan. Muhammad dikatakan bakal menerima tawaran kontrak untuk beraksi bersama pasukan itu.
Jika perpindahan Muhammad ke FC Osaka ini termeterai, Malaysia bakal miliki dua orang pemain muda kebangsaan yang beraksi di bumi Jepun.
Untuk rekod, FC Osaka merupakan kelab Divisyen 3 Jepun yang beraksi dalam saingan JLeague 3. Ketika ini, FC Osaka sedang berada di kedudukan ketiga dalam saingan JLeague 3 selepas 14 perlawanan sementara kelab yang diwakili Luqman, iaitu YSCC Yokohama pula berada ditangga ke 16 dalam liga selepas hanya berjaya mengumpul 20 mata selepas 19 perlawanan dalam saingan JLeague 3.