Advertisement
Harith Samsuri Bakal Terlepas Debut Bersama Harimau Malaya?
Harimau Malaya
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Bek tengah Negeri Sembilan FC, Harith Samsuri berpotensi terlepas membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.

Sebelum ini, namanya tersenarai dalam senarai 26 pemain yang dipanggil Pau Marti Vicente untuk menghadapi Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.

Ini menjadikan beliau pemain Negeri Sembilan pertama dipanggil menyertai kem Harimau Malaya sejak tahun 2013. Tahun tersebut menyaksikan pemain sayap, Nazrin Nawi dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Datuk K. Rajagopal.

Malah, panggilan Harimau Malaya yang diterima Harith turut menggembirakan pengendali Negeri Sembilan, K. Nanthakumar.

“Saya memang bangga. Bila Coach Ela (Elavarasan) tanya saya pasal Harith, saya puji dia dengan Coach Ela.

“Kalau boleh, saya lepaskan dia (untuk PMEA 2024), saya tak nak kacau. Sebab ini karier dia, jadi dia dapat main dengan skuad kebangsaan. Lagi bagus untuk pasukan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Harith dilihat mengalami kecederaan buku lali dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang PDRM FC pada 29 November lalu.

Situasi ini menyebabkan Nanthakumar mengeluarkan bek tengah berusia 24 tahun itu pada minit ke-88. Beliau memasukkan R. Aroon Kumar sebagai pengganti.

Wartawan Astro Arena, Fatin Ruzeiman kemudiannya memuat naik satu video yang menunjukkan kaki Harith yang berbalut selepas perlawanan.

Bekas bek tengah Melaka United FC itu berharap kecederaan yang dialaminya tidak serius. Jika tidak, kedudukannya bakal digantikan dengan pemain lain sebelum saingan PMEA 2024 bermula.

Ini kerana Pau Marti mempunyai masa untuk memanggil pemain lain sebagai pengganti sekiranya ada masalah kecederaan. Pengendali Sepanyol itu mempunyai masa sebelum 7 Disember ini sebelum menghantar senarai muktamad skuad Harimau Malaya ke PMEA 2024.