Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal diberikan mandat selaku kapten pasukan skuad bawah 23 kebangsaan yang akan bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 23 pada tahun hadapan di Mongolia. Perkara ini diumumkan menerusi laman Instagram rasmi FAM sebelum para pemain berlepas ke Mongolia.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin telah mengadakan pertemuan dengan skuad bawah 23 tahun Malaysia bagi memberikan suntikan semangat kepada para pemain. Skuad kendalian Brad Maloney ini akan berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada malam ini bagi menghadapi perlawanan yang dijadualkan antara 25 hingga 31 Oktober.

Selain menyampaikan kata-kata semangat serta amanat beliau, Datuk Haji Hamidin turut memberikan lilitan lengan kapten pasukan kepada Mukhairi Ajmal yang bakal diberi kepercayaan untuk memimpin skuad kebangsaan di atas padang kelak. Selain Mukhairi, 2 pemain iaitu Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Mohd Khalili pula dilantik sebagai penolong ketua pasukan.
Ini juga merupakan berita baik buat peminat bola sepak Selangor kerana ketiga-tiga pemain tersebut merupakan pemain Selangor FC. Malah usia muda mereka memberi petanda bahawa Selangor FC kini mempunyai pemain muda yang berkepimpinan tinggi.
Prestasi Mukhairi Ajmal bersama Selangor FC pada musim ini juga menarik perhatian Tan Cheng Hoe sehinggakan beliau turut memanggil Mukhairi untuk membarisi skuad senior negara sewaktu bertemu Uzbekistan dan Jordan pada awal bulan Oktober yang lalu.

Mukhairi Ajmal yang baru berusia 19 tahun merekodkan 1 gol dan 2 asssist dalam 19 perlawanan Liga Super bersama Selangor FC pada musim ini menurut Transfermarkt.
Malah Mukhairi turut bermain bersama Brendan Gan yang merupakan kapten skuad senior Malaysia. Personaliti dan tunjuk ajar Brendan selaku rakan sepasukannya di Selangor nyata memberi kesan positif terhadap perkembangan bola sepak Mukhairi.
Skuad Brad Maloney telah mencatat 2 kemenangan iaitu ke atas Kedah Darul Aman dan Penang FC manakala kalah ke atas Negeri Sembilan FC dalam 3 perlawanan persahabatan yang lalu. Skuad Malaysia bawah 23 tahun yang ditempatkan dalam kumpulan J ini bakal menentang pasukan Laos, Mongolia dan Thailand.