Selepas pelbagai desas-desus mengenai masa depan jurulatih muda, Nafuzi Zain selepas meninggalkan Terengganu FC, sebentar tadi Nafuzi diperkenalkan sebagai jurulatih baharu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menghadapi kempen 2023.
Video yang memperlihatkan sosok Nafuzi yang mengenakan pakaian KDA FC itu dikongsikan oleh laman sosial pasukan. Pengendali yang berasal dari Kelantan itu bukanlah nama yang asing dalam bola sepak negeri Kedah.
Ini kerana Nafuzi pernah menyarung jersi pasukan ‘Hijau Kuning’ itu suatu ketika dahulu dan tahun 2007 adalah puncak prestasi pasukan Kedah yang mana menyaksikan Kedah pada ketika itu dibimbing Azraai Khor memenangi’ ‘double treble’.
Musim 2022 sudah pasti akan menjadi memori terindah buat Nafuzi dalam karier kejurulatihannya selepas membawa Terengganu menjadi naib juara Piala FA dan naib juara Liga Super sekali gus membolehkan Terengganu beraksi di Piala AFC musim 2023.
Dalam pada itu, Nafuzi Zain juga dilaporkan akan membawa beberapa orang anak muridnya di Terengganu termasuklah pemain import bagi memperkuat pasukan Kedah bagi memberi saingan hebat musim hadapan.