Walaupun menjadi salah seorang calon dalam kategori jurulatih terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2021, namun ianya bukanlah satu tiket automatik untuk terus memimpin pasukan pada musim hadapan. Itulah yang terjadi kepada jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.
Seperti yang dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, difahamkan pihak pengurusan tertinggi Terengganu gagal capai keputusan sebulat suara mengenai masa depan Nafuzi bersama Terengganu.
Ianya sekaligus dilihat seperti ada usaha segelintir pihak untuk menyingkir Nafuzi dari membimbing Terengganu musim hadapan.
Para penyokong Terengganu dilihat tidak berdiam diri dengan mereka dilihat memulakan usaha mereka demi melihat khidmat jurulatih ini dikekalkan. Dalam ruangan komen di laman instagram rasmi Terengganu FC, dilihat para penyokong meninggalkan komen #NafuziStay dengan harapan Nafuzi akan dikekalkan untuk membimbing skuad ‘sang penyu’ musim hadapan.
Pada musim ini, Nafuzi dilihat berjaya membawa pasukan Terengganu dengan baik sekali selepas mengakhiri Liga Super 2021 di tangga ke-4 dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia. Walaupun tiada piala yang dimenangi, namun para penyokong Terengganu masih percaya dengan kebolehan jurulatih muda ini yang memiliki falsafah permainan tersendiri.
Sejak beberapa hari lalu, nama jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner disebut-sebut bakal menggantikan Nafuzi sebagai pengendali. Nama jurulatih ini bukanlah nama yang asing bagi arena bola sepak tempatan kerana beliau pernah mengendalikan skuad T-Team pada tahun 2015.