Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, Safee Sali mengakui sukar menang ke atas Terengganu suatu ketika dahulu sekiranya adanya kelibat seorang pemain ini.
Safee banyak menghabiskan kariernya sebelum ini bersama pasukan-pasukan besar dalam kancah bola sepak tempatan seperti Selangor, JDT, PKNS, PJ City sebelum berakhir di KL City.
Selain itu, bekas penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 ini juga sempat berkelana ke Indonesia dengan menyertai kelab Pelita Jaya dan Arema FC sebelum pulang ke Malaysia pada 2014.
Sepanjang karier sebagai penyerang, beliau mengakui telah berdepan begitu ramai pemain pertahanan namun seorang pemain masih melekat dalam ingatan beliau, iaitu Fabio Flor dari Terengganu.
”Ramai pertahanan yang saya jumpa yang susah (untuk dihadapi). Tapi ada seorang pemain ini yang sentiasa ada dalam sejarah saya,” ujar Safee dalam satu video soal jawab di Sports Tarik.
“Ketika menentang Terengganu, ada seorang pemain ni, nama dia Fabio (Flor), pemain import dari Brazil,” dedah Safee.
Jelas Safee, beliau amat tidak menggemari cara Fabio Flor bermain yang lebih ke arah permainan fizikal oleh kerana sosok tubuhnya yang lebih besar dan menyukarkan untuk beraksi.
“Saya cukup benci dia. Saya cukup tak suka dia. Kalau lawan Terengganu, dia ada, memang saya tak suka,” jelas Safee.
“Sebab dia (bermain secara) fizikal. Satu, dia tinggi. Satu lagi, dia keras. Main di Terengganu memang susah.
Oleh itu, Safee akui untuk memenangi sesuatu perlawanan menentang Terengganu pada ketika itu amat sukar kerana adanya Fabio yang bermain fizikal bagi mengekang asakan lawan.
”Nak menang dengan Terengganu memang susah sebab dia (Fabio Flor) main. Sebab apa saya tak suka, sebab dia main menggunakan fizikal,” kata Safee lagi bagi menjawab soalan itu.
Figura seorang Safee Sali sudah pastinya tersemat indah di dalam ingatan peminat bola sepak tanah air khususnya pada tahun 2010 ketika beliau membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki.