Terengganu telah menepis dakwaan kononnya dua pemain sayap lincah, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid tiada bersama pasukan ketika ini
Pada Jumaat, Terengganu telah melancarkan jersi kedua bagi aksi saingan Shopee Cup yang mengangkat lokasi bersejarah di negeri tersebut seperti Gua Bewah, Pulau Bidong dan lain-lain.
“Pereka jersi membuat rujukan mengumpulkan imej mengenai kesemua unsur ini melalui Muzium Negeri Terengganu,” jelas pihak kelab dalam satu kenyataan.
“Ianya adalah gabungan imej dan warna yang memberikan satu aura yang sangat positif disamping rekabentuk jersi ringkas tetapi yang estetik,” tambah Terengganu FC.
Pelancaran jersi ke-5 Terengganu bagi musim 2024-2025 ini mendapat perhatian dan sambutan hangat bukan sahaja dari penyokong Sang Penyu malah peminat bola sepak tempatan.
Di sebalik sambutan positif ini, satu komen yang ditinggalkan oleh peminat setia Terengganu telah mencuri tumpuan ramai bilamana dikatakan Safawi dan juga Akhyar telah kembali ke kampung.
Pihak Terengganu FC dengan pantas memberi respon balas dengan menafikan perkara tersebut dan menjelaskan Safawi dan Akhyar baru sahaja selesai menjalani latihan sesi petang.
”(Safawi Rasid dan Akhyar Rashid) balik kampung di mana pula? Ada sahaja berlatih pada petang tadi (Jumaat),” balas Terengganu FC di ruangan komen.

Malah, dalam satu hantaran pada Sabtu di media sosial rasmi Terengganu menyaksikan kelibat Safawi serta Akhyar berada di padang menjalani latihan di bawah kendalian Badrul Afzan.
Selain Safawi dan Akhyar, beberapa pemain lain turut dilihat menyertai sesi latihan tersebut seperti Azam Azmi, Manuel Ott, Shahrul Nizam, Rahadiazli Rahalim, Akram Mahinan dan lain-lain.
Untuk rekod, Safawi dan juga Akhyar menyertai Terengganu secara pinjaman dari pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan tempoh selama semusim sehingga Mei 2025.
Safawi dan Akhyar kini memiliki tugas penting bagi memacu Terengganu meraih 3 mata penting dalam aksi Shopee Cup apabila dijadualkan bertemu Shan United pada 8 Januari ini.