Terengganu FC sekali lagi mencuri perhatian penyokong dengan melancarkan jersi unik yang dihasilkan ALX hari ini.
Jersi kedua Shopee Cup itu cukup menonjol kerana menampilkan imej lokasi bersejarah dan menarik di Terengganu.
Antara imej yang dikesan dalam jersi berwarna hitam dan putih itu ialah Gua Bewah, Istana Tengku Anjang, Meriam Bukit Puteri dan Pulau Bidong.
Selain itu, ALX turut memilih warna hitam dan putih sebagai warna buat jersi away Terengganu untuk kempen Shopee Cup. Ini kerana warna tersebut cukup dikenali oleh penyokong Peteh.
Kesemua eleman ini dilihat kesinambungan usaha ALX menghasilkan jersi yang bukan saja menarik pada pandangan pemain dan penyokong.
Malah, jersi yang dihasilkan juga dilihat mengangkat martabat negeri Terengganu menerusi pemilihan imej dan warna yang bersifat ikonik.
Sejak dilancarkan di platform media sosial rasmi pasukan itu, ramai penyokong Terengganu cukup tertarik dengan imej jersi berkenaan.
Salah seorang daripadanya ialah Marhisham Mohamad. Beliau merasakan jersi hitam ini yang terbaik pernah dihasilkan.
“Jersi hitam tahun ni memang terbaik. Baik untuk Liga Super mahupun Shopee Cup,” katanya di ruang komen Facebook.
Seorang lagi penyokong bernama Amirul Asrin turut bersetuju dengan pandangannya. Malah, dia merasakan jersi kali ini persis anime Jepun.
“Macam jersi Jepun ala anime. Jersi Terengganu (dengan imej) rumah lama (dan) barangan antik,” katanya.
Jersi yang berharga RM139 itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong. Jersi ini boleh didapati di laman sesawang TFC Direct.
Terengganu bakal menggunakan jersi berkenaan untuk aksi menentang Shan United pada 8 Januari ini.