Bekas orang besi Terengganu FC, Fabio Flor mendedahkan beliau memiliki rasa hormat terhadap bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali.
Ini kerana bekas pemain berusia 43 tahun itu menyifatkan Safee sebagai penyerang paling sukar pernah dihadapi dalam karier bola sepaknya.
Komen ini dikongsikan beliau selepas bekas penyerang Selangor FC itu mendedahkan Fabio merupakan lawan yang paling sukar ditentang setiap kali beraksi.
“Saya cukup benci dia (Fabio Flor). Saya cukup tak suka dia. Kalau lawan Terengganu, dia ada, memang saya tak suka. Sebab dia fizikal. Satu, dia tinggi. Satu lagi, dia keras. Main di Terengganu memang susah,” katanya.
“Nak menang dengan Terengganu memang susah sebab dia (Fabio Flor) main. Sebab apa saya tak suka, sebab dia main menggunakan fizikal.”
Safee merujuk kepada tempohnya semasa bergelar pemain Sarawak, Merah Kuning dan Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini kerana Fabio beraksi untuk Terengganu dari 2005 hingga 2008 dan T-Team (kini Terengganu FC II) pada 2014.
Selepas komen tersebut disiarkan, bekas bek tengah Emirates Club itu berkongsi satu status ringkas di Facebook yang berbunyi, “Saya hormat Safee Sali juga.”
Fabio kemudiannya mendedahkan Safee sebagai penyerang paling sukar pernah dikawal dalam karier permainannya.
“Satu pengiktirafan dan penghormatan buat salah seorang penyerang terbaik Malaysia. Jika anda kata saya pertahanan paling sukar anda hadapi, maka anda patut tahu bahawa anda juga seorang penyerang hebat,” katanya di Instagram.
“Dan anda lebih banyak menyukarkan saya daripada semua penyerang luar (yang saya hadapi dalam karier bola sepak). Legenda sentiasa menghormati legenda.”
Selepas menamatkan kariernya pada 2017, Fabio kini menggalas peranan sebagai jurulatih bola sepak di peringkat akar umbi.