Nam Dinh Hormati JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Thep Xanh Nam Dinh FC, Mauro Jeronimo mengakui pasukan itu menghormati lawan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hal ini dinyatakan beliau dalam sidang media praperlawanan kedua-dua pasukan itu untuk aksi terakhir Kumpulan B Shopee Cup.

Jeronimo mengakui status JDT antara pasukan gergasi di peringkat Asia Tenggara. Selain kerap beraksi di pentas ACLE, pasukan itu juga masih belum tewas dalam 100 perlawanan liga.

“JDT satu pasukan besar di rantau ini dan mereka bermain di Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

“Saya tahu wakil Malaysia memiliki rekod tanpa kalah panjang dalam liga domestik dan mereka memiliki ramai penyerang berkualiti,” katanya.

Jeronimo turut melihat kehadiran semula Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel menambah kekuatan Harimau Selatan untuk aksi ini.

“Kehadiran semula beberapa pemain warisan Malaysia dalam skuad mereka menjadikan JDT lebih kuat.

“Pemain-pemain ini tidak perlu beradaptasi dengan pasukan kerana mereka kerap bermain bersama-sama,” ujarnya.

Meskipun sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi, Jeronimo percaya pasukan itu mampu memberi tentangan kepada JDT.

“Tapi kita kena lihat bahawa Thep Xanh Nam Dinh juga satu pasukan yang kuat. Kita faham kita hormati kekuatan pihak lawan tapi saya yakin dengan pasukan saya,” tambahnya.

Nam Dinh berharap dapat meraih kemenangan ke atas JDT dalam aksi pada 5 Februari. Ini kerana ini akan membantu pasukan itu layak ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.