Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini telah membuka lembaran sejarah baharu dalam rekod Liga Super.
JDT di bawah kendalian Xisco Munoz ketika ini berada dalam momentum terbaik selepas merakamkan kemenangan ke-16 berturut-turut bagi saingan Liga Super musim ini pada Sabtu lalu.
Dua jaringan Bergson dan masing-masing satu gol daripada Joao Figueiredo, Marcos Guilherme serta gol sendiri pemain Imigresen sudah cukup untuk JDT menewaskan The Mighty Tigers 5-0.
Kemenangan besar di Stadium Sultan Ibrahim tersebut tanpa disedari telah membuka lembaran baharu dalam sejarah Liga Super apabila JDT melakar dua rekod yang sinonim dengan konsistensi pasukan.
JDT kini masih belum tewas dalam 100 perlawanan terakhir mereka di Liga Super sekaligus mencatat rekod tanpa kalah terpanjang dalam sejarah saingan setelah kali terakhir tewas pada 2021.
Selain itu, pasukan Harimau Selatan ini juga mencipta rekod kemenangan berturut-turut tertinggi dengan 33 perlawanan Liga Super dimenangi sejak Ogos 2024 hingga aksi bertemu Imigresen lalu.
Rekod demi rekod yang dicipta oleh JDT ini pastinya menjadi tonik tambahan terbaik kepada anak didik Xisco Munoz bagi menghadapi baki perlawanan dalam saingan domestik dan antarabangsa.