Liga Super: JDT Tambah Derita Imigresen
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu gah apabila beraksi dengan cemerlang untuk mengatasi tentangan Imigresen dalam aksi Liga Super 2025-2026 di Stadium Sultan Ibrahim.

Saingan Liga Super kembali lagi minggu ini dengan JDT turun menggapai kemenangan ke-16 berturut-turut setelah berjaya menumbangkan Imigresen yang tersingkir dari Piala Malaysia baru-baru ini.

Nama Joao Figueiredo kembalil mengetuai jentera serangan JDT selepas 5 bulan digantung manakala Zarif Irfan menjadi pilihan di pintu gawang Imigresen serta turut memakai lilitan kapten.

Jaringan Joao Figueiredo menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan di separuh masa pertama apabila penyerang JDT itu melepaskan rembatan kencang jarak dekat yang menerjah ke gawang.

Babak kedua menyaksikan tambahan gol bermula pada minit ke-59 ketika mana Vinicius Milani tertampan bola ke gawang sendiri sebelum Bergson Da Silva melebarkan skor dua minit kemudian.

Bekas penyerang FC Tokyo, Marcos Guilherme melakar nama selaku penjaring apabila meledak gol ke-4 JDT di minit ke-66 sebelum Bergson menutup malam gemilang Harimau Selatan di hujung aksi

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 5-0 memihak JDT.

Fokus JDT selepas ini tertumpu kepada saingan Shopee Cup apabila bertemu Nam Dinh Khamis ini di Vietnam tatkala aksi Imigresen seterusnya adalah bertemu Kelantan TRW dalam kempen MFL Challenge Cup.