Piala Malaysia: Negeri Sembilan Tamatkan Cabaran Imigresen
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC dipaksa bekerja keras oleh Imigresen FC sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia.

Selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama pusingan 16, kedua-dua pasukan perlu menang di Paroi jika mahukan tiket aksi suku akhir menentang Selangor FC.

Dua pemain baharu Imigresen, Nick Swirad dan Babacar Gueye yang didedahkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi berada di bangku simpanan. Luqman Hakim Shamsudin terus menjadi pilihan Nidzam Jamil di bahagian sayap Sang Rusa.

Negeri Sembilan berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Luqman, A. Selvan, Jovan Motika dan Joseph Esso.

Motika menguji benteng The Mighty Tigers pada minit ke-21. Malangnya, percubaan leret bekas pemain sayap KL City FC itu berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Zarif Irfan Hashimuddin.

12 minit kemudian, An Sang-su hampir meletakkan Sang Rusa di hadapan. Pemain tengah Korea Selatan itu hampa apbila tandukannya sekadar singgah di tiang.

Negeri Sembilan kemudiannya dikurniakan sepakan penalti sebelum rehat separuh masa. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Pedro Santos ke atas Selvan.

Kecekapan Zarif menafikan penalti Takumi Sasaki memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Nidzam membuat dua pertukaran dengan memasukkan pemain Singapura, Amirul Adli Azmi dan Zahril Aziz Zabri untuk memperkemaskan rentak permainan.

Kesungguhan Sang Rusa memburu gol akhirnya membuahkan hasil menerusi Luqman Hakim pada minit ke-62. Bekas penyerang KV Kortrijk itu menolak bola yang menewaskan Zarif Irfan.

Tiga minit selepas itu, Imigresen menyangka telah mendapat gol penyamaan menerusi Fayadh Zulkifli. Malangnya, gol itu dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Imigresen terus memberi tekanan kepada tuan rumah dengan harapan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Situasi ini mendorong Nidzam memasukkan Luis Enrique Nsue dan N. Javabilaarivin sebagai pengganti Harith Samsuri dan Sasaki.

Kemasukan Nsue dan Javabilaarivin memastikan kelebihan satu gol Sang Rusa dipertahankan sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan menjadi pasukan terakhir layak ke suku akhir.

Selepas ini, Sang Rusa akan menentang Kuching City FC pada 31 Januari. Imigresen pula akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 1 Februari.