Piala Malaysia: Kad Merah Tak Halang Selangor ‘Bungkus’ Kelantan TRW
MakanBola
Selangor FC

Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia dengan menyingkirkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

Selangor dilihat pasukan pilihan bukan saja status sebagai pasukan gergasi tanah air. Malah, Selangor memiliki kelebihan satu gol selepas meraih kemenangan 2-1 dalam aksi pertama di Kota Bharu.

Kelantan TRW pula berharap dapat mengatasi keputusan agregat dengan harapan merampas tiket suku akhir di Stadium MBPJ.

Pemain tengah baharu Selangor, Hugo Bourmous bergandingan dengan Alex Agyarkwa dan Syahir Bashah di bahagian tengah.

Faris Shah masuk menggantikan bekas pemain tengah Sabah, Danial Haqim Draman yang mengalami kecederaan ketika aksi pertama di Kota Bharu.

Sebaik wisel bermula, Selangor berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Alvin Fortes, Chrigor Moraes dan kapten, Faisal Halim.

Chrigor membuka akaun jaringan dalam Piala Malaysia dengan meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-15. Bekas penyerang Buriram United itu tenang menyudahkan hantaran Zikri Khalili.

Kelantan TRW cuba menyamakan kedudukan menerusi Asraf Aliffuddin Yasin. Malangnya, pergerakannya disekat Zikri sebelum bola dikeluarkan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Faisal memastikan The Red Giants mendahului 2-0 semasa rehat dengan menolak bola hantaran Chrigor.

Bersambung pada babak kedua, Kelantan TRW membuat pertukaran dengan memasukkan T. Saravanan dan Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman.

Selangor kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 pemain apabila Harith Haiqal Adam Afkar dibuang padang pada minit ke-60. Ini selepas VAR mengesan terjahan beliau ke atas Albert Kang.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Selangor menyumbat gol ketiga menerusi Chrigor enam minit selepas itu.

Kelantan TRW berusaha mengurangkan jurang agregat tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor mara dengan keputusan agregat 5-1.

Selepas ini, Selangor akan menentang Terengganu FC untuk saingan Liga Super pada 1 Februari. Kelantan TRW pula akan menentang Penang pada 31 Januari.