Bekas juara V. League 1, Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) menerima tamparan hebat menjelang aksi separuh akhir kedua Shopee Cup menentang Selangor FC.
Ini kerana anak buah Vu Hong Viet tewas 3-2 kepada Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) dalam aksi terbaru V. League 1.
CAHN mendahului seawal minit ketujuh menerusi Nguyen Dinh Bac. Nam Dinh kemudiannya bangkit menyumbat dua gol menerusi Tran Ngoc Son dan Tran Van Dat.
Anak buah Mano Polking tidak putus asa dan bangkit pada babak kedua. Selepas menyamakan kedudukan menerusi Bui Hoang Viet Anh, Dinh Bac menyempurnakan penalti pada minit ke-82 untuk tuan rumah meraih kemenangan.
Keputusan ini menyaksikan CAHN semakin hampir meraih kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2023. Nam Dinh pula kekal di tangga keenam liga dengan 31 mata.
CAHN kini hanya perlu mengalahkan Dong A Thanh Hoa dalam aksi liga seterusnya untuk mengesahkan kejuaraan.
Ini kekalahan kedua Nam Dinh selepas tewas kepada Merah Kuning dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Cup pada 6 Mei lalu.
Anak buah Hong Viet perlu segera bangkit jika mahu meraih tiket final dalam aksi separuh akhir kedua pada 13 Mei. Ini kerana Shopee Cup merupakan peluang terakhir buat Nam Dinh meraih trofi musim ini.