Nama pemain sayap sensasi Selangor FC, Faisal Halim kini menjadi hangat di pasaran bola sepak Vietnam.
Skuad kendalian Kim Pan-gon terus cemerlang mengibarkan bendera Malaysia pada pentas ACC Shopee Cup 25-26 selepas layak ke pentas akhir, baru-baru ini.
Sungguhpun berdepan pasukan handalan Vietnam, Nam Dinh, para pemain Selangor FC mempamerkan aksi berkualiti tinggi untuk menempah tiket ke pentas akhir.
Kemenangan selesa 2-0 di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh membantu Selangor untuk mara ke pentas akhir dengan agregat 4-1.
Penyerang Nam Dinh, Nguyen Xuan Son seakan dapat meramal bahawa pemain lincah Gergasi Merah Kuning, Faisal Halim bakal memberikan masalah besar kepada pasukannya.
Beliau secara terbuka menyatakan bahawa tonggak berusia 28 tahun itu merupakan antara pemain yang palig digeruni ketika beraksi atas padang.
“Pemain berjersi nombor 7 (Faisal Halim), dia pemain terbaik (Selangor) kerana memiliki kualiti yang tinggi.
“Saya beraksi menentang beliau kali terakhir aksi bertemu Malaysia, dia pemain yang hebat,” ulas penyerang kelahiran Brazil itu kepada ASEAN United.
Faisal menjadi tunjang dalam kesebelasan utama The Red Giants dalam usaha merobohkan tembok pertahanan Nam Dinh sepanjang 90 minit permainan.
Sebagai rekod, Faisal Halim telah berjaya mencatatkan lima penglibatan jaringan dalam tujuh aksi pentas Shopee Cup, musim ini.